[KOLUMNIS] Transformasi media dalam era teknologi: Mengimbangi kepintaran mesin
![[KOLUMNIS] Transformasi media dalam era teknologi: Mengimbangi kepintaran mesin [KOLUMNIS] Transformasi media dalam era teknologi: Mengimbangi kepintaran mesin](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-10/81760439125_tbkecerdasanbuatan.jpg)
ICMS 2025 menemukan ahli akademik, penyelidik, profesional dan mahasiswa tempatan serta antarabangsa, untuk berkongsi pandangan, menggalakkan kerjasama dan berdialog mengenai transformasi media yang pantas berlaku pada hari ini. - Gambar UUM
LEDAKAN teknologi digital yang dipandu oleh kecerdasan buatan (AI) telah mengubah banyak industri di seluruh dunia, termasuk bidang media dan kewartawanan.
Bagi organisasi media, perkembangan teknologi ini antara lain, mengubah kaedah penjanaan kandungan, pengagihan kandungan dan cara kandungan diterima oleh pengguna.
Perubahan dibawa oleh teknologi dan AI ini, dilihat akan terus berlaku disebabkan pembangunan teknologi secara berterusan dan seterusnya menyumbang kepada proses transformasi sektor media dan kewartawanan secara meluas.
Senario ini menuntut semua pihak bekerjasama bagi memastikan anjakan ini memberi lebih banyak manfaat kepada pembangunan negara, kesejahteraan masyarakat dan isu keselamatan siber ditambah baik bagi melindungi pengguna.Umumnya, era teknologi digital merujuk kepada kemajuan pantas teknologi dipacu AI, proses pembelajaran mesin (machine learning, ML), penggunaan meluas data besar (big data) dan sistem automasi yang mengubah cara industri bekerja termasuk industri media dan kewartawanan.
Dalam konteks ini, transformasi media pula merujuk kepada perubahan strategik, struktur dan operasi yang dilaksanakan organisasi media bagi membolehkan ia kekal relevan dan kompetitif dalam pasaran dengan memanfaatkan sepenuhnya teknologi.
Sejak berlaku ledakan teknologi, organisasi media mula melaksanakan pembaharuan bagi penerbitan kandungan-kandungan termasuk penggunaan teknologi AI yang boleh menjana laporan-laporan berita dalam masa pantas. Pengamal media juga menggunakan AI bagi pencarian maklumat yang cepat dan pengesahan fakta dalam kandungan.
Selain itu, teknologi turut mewujudkan pengagihan kandungan diperibadikan (content personalization) dan pengagihan kandungan lebih strategik berdasarkan tingkah laku dan pilihan pengguna serta lokasi.
Impak yang dibawa oleh teknologi ini turut meningkatkan keterlibatan dan interaksi audiens dengan organisasi media. Pada hari ini, kesemua organisasi media telah memanfaatkan platform media sosial untuk meningkatkan jangkauan audiens dan ia membolehkan interaksi lebih meluas dan mengikut masa nyata.
Seterusnya, pembaharuan kepada organisasi media dapat dilihat dalam proses pembuatan keputusan yang berasaskan data. Sebagai contoh, data analitik boleh digunakan bagi membantu pengamal media memilih topik atau menghasilkan kandungan yang disukai audiens.
Selain itu, unit atau jabatan dalam bilik berita tradisional yang sebelum ini berfungsi dan beroperasi secara berasingan, sudah boleh digabungkan menjadikan semua unit bekerja di bawah satu bumbung disebabkan teknologi memudahkan perkongsian bahan atau kandungan.
Secara ringkasnya, ledakan teknologi telah mengubah secara signifikan industri media dan ia menuntut satu pendekatan baharu untuk mengimbangi kawalan mesin dengan kreativiti insan, prinsip kewartawanan dan pematuhan etika oleh pengguna teknologi.
Dengan itu, penggunaan teknologi ini tidak lagi boleh diundur dan ia akan terus berkembang sesuai dengan permintaan pengguna. Jadi, ia menuntut semua pihak untuk mengambil satu pendekatan agar penggunaan meluas mesin dan teknologi tidak menggadaikan elemen dan prinsip murni kewartawanan.
Menerusi pendekatan seimbang mesin dan manusia, ia dapat mewujudkan satu kerjasama simbiosis kerana mesin serta teknologi tidak boleh menggantikan peranan manusia sepenuhnya. Sehubungan itu, penggunaan mesin dan teknologi hanya membantu mempercepatkan pekerjaan, mengendalikan data yang besar dan tugas-tugas teknikal lain.
Manakala, peranan manusia fokus kepada proses pembuatan keputusan, kreativiti, etika dan menguruskan keterlibatan audiens. Peranan manusia kekal penting dalam memastikan alat-alat digital, teknologi dan AI menghasilkan kandungan yang mematuhi prinsip-prinsip seperti benar, tepat dan adil.

Dinamika dan transformasi industri media dan kewartawanan ini dibincangkan menerusi penganjuran 5th International Conference on Media Studies (ICMS) 2025 oleh Program Teknologi Media, Pusat Pengajian Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universitas Brawijaya, Universitas Muhammadiyah Yogyajarta dan Universitas Mercu Buana dari Indonesia dengan tema, “Media Transformation in the Intelligence Era: The Human-Machine Centred Approach”.
Tema ini dipilih memandangkan proses transformasi media masih berlaku selari dengan perkembangan bidang teknologi terutama berkaitan AI selain menjadi usaha memperkayakan dialog dan penyelidikan media di peringkat antarabangsa.
ICMS 2025 menemukan ahli akademik, penyelidik, profesional dan mahasiswa tempatan serta antarabangsa, untuk berkongsi pandangan, menggalakkan kerjasama dan berdialog mengenai transformasi media yang pantas berlaku pada hari ini.
Selain itu, ICMS 2025 menjadi platform membincangkan isu, cabaran dan potensi media dan komunikasi dalam usaha mengukuhkan kesejahteraan, etika dan kebertanggungjawaban rakyat dengan melibatkan pemegang taruh, penyelidik, ahli sarjana, pelajar dan pengamal media sendiri dalam ruang dialog antarabangsa ini.

Dalam konteks ini, transformasi media dilihat melangkaui proses pendigitalan semata-mata kerana turut mewakili penstrukturan semula yang mendalam terhadap carta alir kerja, penciptaan kandungan, pengedaran kandungan dan pengukuran keterlibatan penonton media melalui satu sistem yang pintar.
Transformasi media bukan hanya proses peralihan teknologi tetapi dilihat sebagai revolusi sosiobudaya. Pendekatan berpaksi manusia-mesin dapat membantu memastikan teknologi menjadi semakin pintar dan pada masa sama, peranan manusia dapat menjadikan media lebih sarat dengan nilai kemanusiaan yang dipandu oleh etika, keterangkuman, ketelusan dan memberi manfaat besar kepada masyarakat.
Kesimpulannya, masa depan media dalam era teknologi dan AI bergantung kepada hubungan simbiosis manusia dan mesin. Penggunaan teknologi meningkatkan kepantasan bekerja manakala peranan manusia memastikan teknologi tidak menggadaikan nilai dan prinsip media untuk membawa manfaat kepada rakyat. Dengan mengambil pendekatan seimbang manusia-mesin, industri media akan terus berevolusi tetapi tetap berpegang teguh kepada nilai-nilai kewartawanan dan memberi khidmat kepada masyarakat dengan penuh tanggungjawab.
*Dr. Noor Aziah Abdullah ialah Pengarah ICMS 2025, Program Teknologi Media, Pusat Pengajian Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM)
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami