KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) menjual 100 peratus pegangan dalam anak syarikat milik penuhnya, TNB Power Daharki Ltd (TPD) kepada AsiaPak Investments Limited (AsiaPak) untuk mempercepat pertumbuhan tenaga boleh baharu di pasaran tumpuan, dengan pertimbangan US$54.5 juta (kira-kira RM228.4 juta).

TPD merupakan syarikat induk bagi TNB Liberty Power Limited (LPL) yang memiliki dan mengendalikan loji jana kuasa kitar padu turbin gas 235MW yang telah mula beroperasi 20 tahun lepas pada 2001, dengan perjanjian pembelian tenaganya akan tamat pada September 2026.

AsiaPak pula ialah syarikat pelaburan swasta yang berpangkalan di Pakistan dan Hong Kong.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Selasa, TNB menjelaskan penjualan TPD itu adalah sejurus selepas penjualan debentur wajib tukar di India pada Ogos lepas.

Sementara itu dalam kenyataan media yang disertakan bersama kepada Bursa, TNB menambah penjualan TPD itu menandakan satu lagi langkah penting dalam strateginya untuk menyelaraskan portfolio antarabangsa dengan mengutamakan pertumbuhan tenaga boleh baharu dalam pasaran tumpuan seperti United Kingdom, Eropah dan Asia Tenggara.

"Langkah ini adalah sejajar dengan inisiatif TNB memanfaatkan pilihan penjualan asetnya dalam pasaran bukan tumpuan dan menyalurkan semula hasil penjualan bagi mengembangkan portfolio tenaga boleh baharu.

"Ini juga mengukuhkan peralihan ke arah meluaskan dan mendalami inisiatif kelestarian bagi mempercepat pertumbuhan perniagaan antarabangsa tenaga boleh baharu yang seterusnya bertindak sebagai pemangkin dalam usaha TNB memacu laluan pembangunan teknologi hijau di Malaysia," menurut TNB.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Ir Baharin Din berkata penjualan TPD dan LPL menandakan satu daripada inisiatif perancangan strategik TNB untuk memberi tumpuan kepada pasaran pertumbuhan di samping melaksanakan visi global terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

"Kami sudah mengumumkan Hala Tuju Kelestarian baru-baru ini, satu pelan tindakan dengan aspirasi mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

"Hala tuju ini ditunjangi komitmen untuk mengurangkan 35 peratus daripada intensiti pelepasan karbon serta 50 peratus daripada kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035," katanya dalam kenyataan yang sama.

Beliau berkata urus niaga dalam persekitaran ekonomi mencabar yang dijejaskan lagi oleh COVID-19, membuktikan ketahanan dan keupayaan TNB mengekalkan nilai pelaburan syarikat.

Di samping itu, ia juga membolehkan TNB melangkah setapak lagi dalam peralihan menuju masa depan tenaga baharu yang rendah karbon, selaras dengan Hala Tuju Kelestarian dan keseluruhan wawasan ESG TNB.

Sementara itu, CEO AsiaPak, Shaheryar Chishty berkata pihaknya yakin bahawa penyeliaan TNB terhadap LPL selama ini telah mengekalkan kualiti prestasi operasi LPL, sekali gus memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan.

"Ia merupakan satu keistimewaan untuk bekerjasama dengan TNB dalam transaksi ini. Matlamat bersama kami dalam menyelesaikan penjualan ini memainkan peranan penting yang memastikan kejayaan urus niaga ini," katanya.

-- BERNAMA