TNB perkenal dua jawatan pimpinan kanan SCNO, SCSSO bagi perkukuh tadbir urus

Mahathir Nor Ismail (kiri) dan Muhamad Nazri Pazil. - Foto TNB
KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengumumkan pelantikan Mahathir Nor Ismail sebagai ketua pegawai rangkaian kanan (SCNO) manakala Datuk Muhamad Nazri Pazil sebagai ketua pegawai strategi dan kelestarian kanan (SCSSO) berkuat kuasa 1 Jan, 2026, susulan pembentukan dua jawatan itu.
Ringkasan AI
- TNB mengumumkan pelantikan Mahathir Nor Ismail sebagai ketua pegawai rangkaian kanan (SCNO) dan Datuk Muhamad Nazri Pazil sebagai ketua pegawai strategi dan kelestarian kanan (SCSSO) bermula 1 Januari 2026.
- Pembentukan jawatan baru ini bertujuan memperkukuh akauntabiliti, pemisahan antara hala tuju strategik dan operasi, serta menguatkan kepimpinan dan struktur korporat TNB.
- Langkah ini mencerminkan komitmen TNB terhadap tadbir urus kukuh, penyampaian perniagaan berkesan, dan prestasi mampan dalam landskap tenaga yang semakin rumit.
"Langkah ini mencerminkan pendekatan berdisiplin TNB terhadap aspek tadbir urus dan perancangan penggantian bagi memastikan organisasi kekal bersedia menghadapi masa depan, diterajui dengan baik serta disokong oleh saluran bakat kepimpinan kukuh untuk melaksanakan tanggungjawab nasional secara mampan.
"Ini juga membolehkan presiden/ketua pegawai eksekutif memberi kepimpinan dan pengawasan keseluruhan yang lebih jelas selain memperkasa pemimpin kanan dengan tanggungjawab jelas untuk memacu prestasi, transformasi dan penciptaan nilai jangka panjang," kata syarikat utiliti nasional itu.
Di bawah struktur baharu itu juga, SCNO akan menyelia sebahagian besar tanggungjawab pelaksanaan dan penyampaian, sekali gus memberi takrifan "pemilikan" tanggungjawab jelas terhadap prestasi operasi, kebolehpercayaan rangkaian dan daya tahan sistem.
"SCSO pula menyatukan fungsi strategi, kelestarian dan perancangan jangka panjang di bawah satu payung kepimpinan.
"Ini bertujuan memperkukuh kesepaduan strategik, meningkatkan komunikasi dengan pihak berkepentingan serta memastikan pertimbangan kelestarian dirangkum sepenuhnya dalam usaha membuat keputusan jangka panjang dan hala tuju perniagaan TNB," katanya.
Selain itu, TNB turut memperkukuh amalan tadbir urus baik, menambah baik penyelarasan seluruh organisasi serta mengukuhkan penjajaran perancangan jangka panjang dan operasi harian.
"Struktur ini juga menyokong proses pengurusan penggantian yang lebih mantap dengan membangunkan keupayaan kepimpinan secara mendalam serta memastikan berlakunya kesinambungan pada peringkat kepimpinan kritikal," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


