KUALA LUMPUR: Dua syarikat pengeluar sarung tangan, Top Glove Corp Bhd dan Hartalega Holdings Bhd berkemungkinan terkeluar daripada kedudukan utama dalam FBM KLCI sekiranya tiada pemangkin dalam tempoh terdekat, demikian menurut AmInvestment Bank Research.

Firma itu menjangkakan sektor sarung tangan getah akan terus berdepan tekanan harga jualan purata (ASP) yang diburukkan lagi dengan kos operasi lebih tinggi terutama kos buruh dan tenaga.

Di samping itu, penilaian semula dalam premium penjagaan kesihatan akan terus menjejaskan penilaian, terutamanya Hartalega dan Top Glove.

Setakat Jumaat lalu, katanya, pasaran modal Top Glove berjumlah RM6.4 bilion (kedudukan ke-45) manakala Hartalega sebanyak RM5.5 bilion (kedudukan ke-56).

"Berdasarkan garis panduan, konstituen berkemungkinan boleh terkeluar daripada indeks jika mereka jatuh di bawah kedudukan ke-35.

"Tanpa prospek positif dalam tempoh terdekat, kami percaya kedua-dua syarikat pengeluar ini akan dikeluarkan daripada KLCI ketika semakan setengah tahun pada 21 November ini.

"Kami melihat ini sebagai faktor penurunan penarafan seterusnya, yang boleh mengurangkan kecairan dagangan dan profil pelaburan sektor sarung tangan getah," katanya dalam nota kajian pada Isnin.

Dalam kalangan syarikat sarung tangan getah di bawah liputannya, Top Glove dan Hartalega mencatat prestasi kewangan tersasar daripada jangkaan disebabkan penurunan ASP yang lebih cepat daripada jangkaan di tengah-tengah kenaikan kos operasi.

Bagaimanapun, untung bersih teras Kossan Rubber Industries Bhd. adalah sejajar dengan unjuran firma, merangkumi 66% tetapi di bawah konsensus, hanya 46%.

Menurut AmInvestment, sektor sarung tangan getah dilihat tidak lagi menikmati premium penjagaan kesihatan seperti mana ketika tempoh pandemik COVID-19.

Ia mendapati, dalam tempoh itu penilaian harga perusahaan (PE) syarikat sarung tangan getah di bawah liputannya menyaksikan aliran menaik sejak awal 2014 daripada purata 16 hingga 20 kali kepada 24 hingga 50 kali pada awal 2020 (sebelum tercetusnya pandemik).

Firma itu percaya, situasi tersebut disebabkan terutamanya oleh hasil premium penjagaan kesihatan yang lebih baik, selaras dengan tahap 50 kali tinggi IHH Healthcare Bhd. sejak 2014, berbanding prospek margin yang kukuh.

"Dengan perang harga yang melanda industri, kami percaya premium ini akan terus pudar," jelasnya.

Menurutnya, dari segi perspektif permintaan, pembeli akhir masih mengekalkan tahap inventori buat masa ini yang akan menyebabkan pembelian terus menurun beberapa bulan akan datang.

"Kami menjangkakan permintaan akan menguncup kira-kira 16 hingga 18% pada tahun ini, meningkatkan permintaan sarung tangan getah global dalam tempoh lima bulan pertama 2022.

"Ini sejajar dengan gabungan jualan separuh pertama bagi tiga syarikat sarung tangan getah di bawah liputan kami yang merosot 16% tahun ke tahun," katanya.

Mengulas lebih lanjut, AmInvestment berkata, persaingan sengit yang berterusan dalam kalangan pembuat sarung tangan serantau yang berpunca daripada lebihan kapasiti telah membawa kepada penurunan ASP daripada kemuncaknya pada suku kedua 2021.

Tambahan pula, peningkatan kos operasi (kos tenaga dan buruh) telah mengurangkan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) 4 pembuat sarung tangan terbesar Malaysia, dengan kebanyakan mereka mencatatkan margin yang lebih rendah berbanding tahun kewangan 2019.

"Terutamanya, Top Glove dan Supermax Corp. Bhd. telah mencatatkan margin terendah sejak penyenaraian mereka, manakala Kossan kini berada pada tahap terendah sejak 2009.

"Selain itu, pemain industri yang lebih kecil seperti Careplus Group Bhd. telah merekodkan kerugian sejak suku keempat 2021 manakala Comfort Gloves Bhd pada suku pertama 2022.

"Situasi ini menyebabkan harga saham syarikat pengeluar sarung tangan getah menjunam ke paras sebelum era pandemik COVID-19," jelasnya.

Malah, firma itu juga mendapati, syarikat pengeluar sarung tangan getah dari China kini menjual sarung tangan getah perubatan di bawah AS$20 per 1,000 keping berbanding AS$25 hingga AS$27 di Malaysia.

Mengambil kira semua faktor berkenaan, AmInvestment mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor sarung tangan getah. -DagangNews.com