KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menyemak semula unjuran trafik penumpang udara pada tahun ini, menjangkakan penguncupan trafik penumpang antara 22.9 peratus dan 29.1 peratus tahun ke tahun, yang diterjemahkan kepada 18.9 hingga 20.6 juta penumpang.

Semakan semula tersebut dibuat berikutan peningkatan semula kes COVID-19 di dalam negara dan antarabangsa ketika ini, kata MAVCOM dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada suku pertama 2021 menyaksikan hanya 1.7 juta penumpang yang menggunakan perkhidmatan udara, penurunan 91.1 peratus tahun ke tahun daripada 19.1 juta penumpang pada suku pertama tahun 2020 menunjukkan jumlah trafik penumpang yang rendah sepanjang tahun.

"Keperluan perjalanan udara turut terjejas akibat pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan perjalanan yang dijangkakan berkuatkuasa sepanjang tahun 2021," katanya.

Selain daripada itu, unjuran MAVCOM juga mempertimbangkan faktor beban dan kapasiti tempat duduk untuk tahun ini.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata suruhanjaya itu telah menyemak semula unjuran trafik penumpang dan menjangkakan terdapat penurunan dalam trafik penumpang bagi tahun 2021 dengan mengambil kira cabaran yang dihadapi oleh industri penerbangan.

Beliau berkata jangka masa pelaksanaan pemvaksinan, langkah-langkah kesihatan awam yang lebih ketat atau dilonggarkan serta pembukaan semula sempadan udara antarabangsa yang selamat dan perubahan permintaan untuk perjalanan udara akan terus mempengaruhi kepantasan pemulihan sektor ini.

"Justeru itu, MAVCOM akan terus memantau dan menilai perkembangan semasa industri penerbangan pada tahun ini dengan teliti. Suruhanjaya tetap akan berusaha untuk mengurangkan impak pandemik COVID-19 dengan menyokong pemulihan sektor penerbangan negara kembali ke tahap pra-pandemik," katanya.

Menurut MAVCOM, kelalaian dalam mematuhi langkah-langkah kesihatan awam juga boleh meningkat seiring dengan usaha pemvaksinan yang menyebabkan gelombang jangkitan baharu akan mengakibatkan pemulihan industri lebih lambat lagi.

Pembukaan semula sempadan antarabangsa negara adalah tertakluk kepada kelulusan Majlis Keselamatan Negara dan perkembangan terbaru COVID-19 tempatan serta negara-negara lain, katanya.

Apa yang penting, kata MAVCOM, pengesahan sijil vaksinasi dan pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi kuarantin di seluruh dunia mesti dilaksanakan untuk pembukaan semula sempadan bagi memulakan perjalanan antarabangsa.

"Malaysia sedang mengkaji pelaksanaan pas kesihatan digital yang diiktiraf di peringkat antarabangsa seperti Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), yang memaklumkan kepada penumpang mengenai vaksin, ujian kesihatan serta langkah-langkah lain yang perlu diperhatikan sebelum melakukan perjalanan," katanya.

Pas itu juga membolehkan para pelancong untuk berkongsi hasil ujian kesihatan dan status vaksinasi mereka dengan cara yang selamat.

"Penggunaan Pas Perjalanan IATA dijangka memudahkan lagi perjalanan pasca pandemik COVID-19 dalam usaha untuk memacu pergerakan penumpang antarabangsa.

"Tambahan lagi, gelembung perjalanan udara antara negara-negara zon hijau juga dapat meningkatkan trafik penumpang,"katanya.

-- BERNAMA