Trend menurun kadar pengangguran tanda positif pemulihan ekonomi - PM

Raja Hisyam Raja Zaid
Jun 26, 2022 09:30 MYT
Ismail Sabri Yaakob meluangkan masa melawat karnival kerjaya BN Youth Job Fair 2022 di WTC hari ini. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kadar penggangguran di negara ini menunjukkan trend penurunan yang menjadi petanda positif pemulihan sektor ekonomi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, kadar pengangguran direkod April lalu adalah 3.9 peratus berbanding 4.6 peratus bagi tempoh sama pada 2021.
Menurutnya, ini merupakan kali pertama kadar pengangguran menurun di bawah empat peratus sejak pandemik COVID-19 melanda, malah bilangan penganggur keka pada trend menurun bagi sembilan bulan berturut-turut.
Jelasnya pandemik COVID-19 telah mengubah landskap pekerjaan di negara ini apabila kadar pengangguran dicatatkan pada 2020 berada pada tahap tertinggi melebihi 5.3 peratus berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Penutupan beberapa sektor ekonomi menjadikan kadar pengangguran negara meningkat sehingga 5.3 peratus pada Mei 2020 iaitu kadar pengangguran bulanan yang tertinggi pernah kita catatkan.
"Bermula 1 April yang lalu, negara telah memasuki Fasa Peralihan ke Endemik dan ini telah menjadi titik tolak kepada pemulihan ekonomi negara yang kini berada pada momentum yang baik," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Penutup BN Youth Job Fair 2022 (BNYJF'22) di sini hari ini.
Ucapan Perdana Menteri sempena BN YOUTH Job Fair 2022
BACA: Kadar pengangguran Malaysia menurun pada April 2022
BACA: Keadaan tenaga buruh negara semakin baik, kadar pengangguran rendah mulai Dis 2021
Justeru menurut beliau kerajaan ketika ini optimis untuk mencapai sasaran menyediakan sehingga 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan sebanyak RM4.8 bilion melalui inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia.
Katanya, kerajaan juga mengalu-alukan usaha yang dimainkan oleh pelbagai pihak termasuk melalui penganjuran karnival kerjaya bagi memberi ruang kepada golongan yang sedang mencari pekerjaan.
Sementara itu, BNYJF'22 yang berakhir hari ini disifatkan berjaya mencapai matlamat apabila 6,276 kekosongan kerja ditawarkan kepada calon yang hadir.
BNYJF'22 yang berlangsung selama tiga hari bermula 24 Jun itu dikunjungi oleh lebih 32,563 pengunjung yang rata-ratanya dalam kalangan belia yang mencari pekerjaan.
Daripada jumlah itu, lebih 18,000 permohonan telah dihantar untuk tujuan pencarian kerja membabitkan lebih 300 buah syarikat daripada pelbagai sektor industri yang menyertainya kali ini.
#ismail sabri yaakob #PKP #kadar pengangguran #BN Youth Job Fair 2022