KUALA LUMPUR: Perasmian Tun Razak Exchange (TRX) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Hab Kewangan Antarabangsa bukan sekadar suatu kejayaan bagi Malaysia, tetapi juga peristiwa yang akan membuka lembaran baru dalam bidang ekonomi dan perniagaan.

Berdiri megah di tengah kota raya Kuala Lumpur, TRX kini menempatkan pelbagai syarikat terkemuka dari dalam dan luar negara termasuk 20,000 pekerja mahir.

Bukan sahaja menawarkan kemudahan infrastruktur moden yang memenuhi piawaian antarabangsa, tetapi juga menjadi lokasi strategik untuk perniagaan dan pelaburan global.

Ketua Pegawai Eksekutif Tun Razak Exchange City (TRXC) Datuk Azmar Talib berkata TRX mencerminkan apa yang diperlukan oleh Malaysia ke arah negara serba moden, dan mampan melalui pemupukan minda perniagaan yang hebat lantas membentuk masa hadapan yang gemilang. 

“Hari ini, saya berdiri di hadapan anda dengan rasa bangga, TRX adalah kenyataan lantang Malaysia kepada dunia bahawa kita berjaya memenuhi komitmen kita, serta mampu mencapai lebih lagi.

“Kejayaan ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan dari rakan seperjuangan dalam kerajaan, pelabur yang yakin kepada negara kita serta peluang yang kita bawa, dan komuniti TRX yang terdiri daripada syarikat-syarikat blue-chip global dan tempatan,” katanya semasa perasmian.

Turut hadir pada majlis perasmian adalah Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, delegasi antarabangsa, pemimpin industri, serta pegawai kerajaan.

Pelbagai syarikat kewangan antarabangsa telah membuat keputusan untuk menetapkan pangkalan operasi mereka di TRX, membuktikan daya tarikan dan keberkesanan hab kewangan ini.

Antara pelabur utama TRX adalah Kumpulan Lendlease dari Australia, Kumpulan Mulia dari Indonesia, HSBC Malaysia, Affin Bank, Core Precious Development Sdn Bhd, Veolia, Kumpulan IJM, dan Prudential Malaysia.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lendlease, Tony Lombardo, berkata The Exchange TRX, yang merangkumi pusat beli-belah, hotel, dan bangunan pejabat serta TRX Residences, adalah pembangunan bersepadu terbesar milik syarikatnya di Asia setakat ini.

“Setakat ini, kami telah memiliki 10 juta orang pengunjung dalam dua bulan pertama, jadi kira-kira sekitar lima juta kunjungan sebulan, harap ia berlanjutan dan kami juga telah berhasil menarik begitu banyak jenama antarabangsa untuk ke Kuala Lumpur.

“Lendlease membuat pelaburan sebanyak 60 peratus bersama-sama dengan Kementerian Kewangan sejak projek ini dimulakan, jadi kami telah menjadi pelabur utama selama bertahun-tahun dan projek ini telah menonjol di peringkat antarabangsa," katanya. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, keadaan ekonomi Malaysia yang kian stabil juga merupakan faktor penting bagi menarik pelabur asing ke TRX.

"Saya berpendapat bahawa ekonomi di sini sedang berkembang dengan baik di mana pertumbuhan KDNK berada pada kadar (kira-kira) empat peratus, inflasi dan kadar faedah rendah.

“Oleh itu, ia menjadi faktor penting kerana dengan kadar faedah yang rendah, pelabur asing dapat melihat bahawa ini merupakan masa yang sesuai untuk melabur dalam pasaran ini,” tambahnya.

Sebagai Pusat Kewangan Antarabangsa (IFC) negara, kerajaan juga akan menyediakan beberapa insentif kepada syarikat yang memindahkan pangkalan operasi mereka ke sana.

Ini merangkumi elaun bangunan industri dan pengcualian cukai ke atas 70 peratus daripada pendapatan berkanun untuk tempoh lima tahun bagi harta pemaju.

Selain itu, kerajaan turut memberi pengecualian duti setem ke atas pinjaman dan perkhidmatan untuk TRX syarikat berstatus.

TRX City Sdn Bhd (TRXC) dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Malaysia dan merupakan pemaju induk TRX, Hab Kewangan Antarabangsa Malaysia.