Pada Jumaat lalu, pasaran saham mengakhiri dagangan untuk minggu tersebut dengan lebih rendah.

Astro AWANI memberikan fokus kepada saham Genting Malaysia Berhad (GENM), MCT Berhad dan juga FGV Holdings Bhd.

Saham Genting Malaysia tetap menjadi tumpuan disebabkan pembatalan kontrak dengan syarikat hiburan gergasi dunia, Disney dan Fox pada minggu lalu.

Sementara itu, saham MCT Berhad terus mendapat perhatian kerana anak syarikatnya, One City Development Sdn Bhd yang terlibat dengan isu rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman.

Saham FGV Holdings Bhd juga diberikan fokus susulan tindakan syarikat tersebut yang telah memulakan tindakan undang-undang terhadap bekas pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah.

Bagaimana pula nasib buat ketiga-tiga syarikat ini apabila pasaran saham dbuka pada pagi ini?

Antara saham yang menarik tumpuan pada pagi ini:


Genting Malaysia Berhad (GENM)

Saham GENM terus menarik perhatian apabila ia mencatatkan kerugian bersih terbesar suku tahunan iaitu sebanyak RM1.49 bilion bagi suku ketiga yang berakhir 30 September 2018 (3QFY18).

Hal ini berikutan penurunan nilai pelaburan yang besar iaitu sebanyak RM1.8 bilion nota janji hutang yang dikeluarkan Mashpee Wampanoag Tribe untuk pembangunan resort permainan di Massachussetts, Amerika Syarikat.

Pada 27 November lalu, saham GENM juga merudum selepas kumpulan itu menyaman 21st Century Fox (Fox) dan bakal pemilik baharunya, Walt Disney Co, kerana membatalkan perjanjian untuk taman tema Fox World di resort kasino tanah tinggi di Pahang.


MCT Berhad

Anak syarikat MCT Bhd, One City Development Sdn Bhd telah mengeluarkan satu kenyataan yang menafikan pihaknya memberi upah kepada sekumpulan samseng untuk menghasut dan melakukan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25 di Subang Jaya, Selangor.

One City berkata laporan media mengenai penglibatan pihaknya dalam mengupah kumpulan itu adalah tidak tepat sama sekali.

Pihaknya menegaskan bahawa pemindahan kuil itu diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2014 menerusi penghakiman persetujuan selepas empat pihak bersetuju menyerahkan kembali tanah itu kepada pemiliknya.

Empat pihak terlibat ialah kerajaan negeri, pemilik tapak kuil berkenaan One City Development Sdn Bhd (One City) serta dua individu yang mendakwa pentadbir kuil itu, K Chellappa dan M Nagaraju.


FGV Holdings Bhd

FGV Holdings Berhad memfailkan saman terhadap bekas pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah berhubung pembelian dua kondominium mewah di Persiaran KLCC pada 1 Disember lalu.

FGV menuntut kira-kira RM7.68 juta dan relif lain daripada kedua-dua mereka.

Pada 28 November lalu, FGV mencatatkan rugi bersih RM849.26 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2018 berbanding untung bersih RM41.53 juta yang direkodkan pada tempoh sama tahun lepas.