KUALA LUMPUR: Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi salah satu negara yang paling penting dalam pelaburan di Malaysia.

Setiausaha Agung Majlis Pelabur Antarabangsa UAE (UAEIIC), Jamal Saif Al Jarwan berkata, syarikat-syarikat dari UAE mempunyai kepentingan saham dalam pelbagai projek pelaburan di negara ini.

Menurut Jamal, UAEICC berhasrat untuk meneroka peluang kerjasama dalam bidang pelaburan yang memberi pulangan kepada komuniti perniagaan kedua-dua negara.

"Pada peringkat dua hala, UAE telah menyumbang kepada pertumbuhan yang mantap dalam pergerakan pelancong antara kedua-dua negara melalui sektor penerbangan.

“Syarikat penerbangan nasional UAE beroperasi kira-kira 20 penerbangan ke Malaysia setiap minggu,

“Selain itu, terdapat banyak perjanjian bersama seperti Perjanjian Pengecualian Cukai dan perjanjian untuk menggalakkan dan melindungi pelaburan,” kata beliau dipetik sebagai berkata menerusi wawancara dengan Emirates News Agency.

Dalam masa sama, Jamal menegaskan, kerjasama ekonomi antara UAE dan Malaysia mencerminkan hubungan yang kukuh berdasarkan kepercayaan, saling hormat, dan kepentingan bersama.

Melihat kepada sektor-sektor dalam pelaburan antara UAE dan Malaysia, beliau menjelaskan, Malaysia menduduki tempat pertama di dunia dalam Global Islamic Economy Indicator 2022 selama sembilan tahun berturut-turut.

Tambah Jamal, UAE memberi tumpuan yang besar terhadap kerjasama ekonomi dan pelaburan dengan Malaysia, terutamanya dalam sektor inovasi, teknologi moden, aplikasi Revolusi Industri IR 4.0, ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui, industri dan penjagaan kesihatan.

Setiausaha Agung UAEIIC itu juga menyoroti perkembangan berterusan dalam hubungan dua hala antara UAE dan Malaysia, dengan sokongan daripada kepimpinan kedua-dua negara.

"Kedua-dua negara boleh berkongsi pengalaman pembangunan yang berjaya, terutamanya dalam pencapaian ekonomi dan kebangkitan pembangunan yang dipacu oleh kebebasan ekonomi yang pelbagai,” katanya.