KUALA LUMPUR:UEM Group Bhd, pemegang saham terbesar UEM Sunrise, telah memaklumkan kepada Bursa Malaysia hasrat untuk menggabungkan unit hartanahnya dengan Eco World Development Group Berhad (EcoWorld).

Penggabungan ini akan dilakukan melalui penukaran saham (share swap exercise).

Sekiranya penggabungan ini berjaya, EcoWorld akan menjadi anak syarikat milik penuh UEM Sunrise.

UEM Group memiliki 66.1% saham UEM Sunrise.

Antara sebab yang diberikan untuk penggabungan ini ialah, bagi menyatukan pemain industri hartanah dalam usaha "memastikan pemain industri dapat menongkah arus dengan baik, dalam keadaan ekonomi yang semakin meruncing".

Menurut filing Bursa, UEM Sunrise akan mengeluarkan saham baharu dengan harga cadangan sebanyak 44.3 sen seunit kepada pemegang saham EcoWorld, dengan harga penukaran 46.9 sen seunit.

Ini memberikan kadar nisbah penukaran sebanyak 1.0587 bagi setiap saham baharu UEM Sunrise bagi setaip satu saham EcoWorld yang dipegang.

Waran baharu UEM Sunrise juga dicadangkan untuk dikeluarkan kepada kesemua pemegang waran EcoWorld menggunakan nisbah penukaran 1.0587 bagi setiap waran UEM Sunrise bagi setiap satu waran EcoWorld yang dipegang oleh pemilik waran itu.

Sehingga kini, kedua-dua syarikat itu telah menyaksikan nilai saham mereka susut lebih 50%. Saham UEM Sunrise tutup pada 39 sen dan saham EcoWorld tutup pada 41 sen pada Isnin.

Khazanah Nasional akan menjadi pemegang saham terbesar bagi kedua-dua syarikat ini selepas penggabungan, melalui pegangan saham mereka dalam syarikat UEM Group.

Pengerusi Eksekutif EcoWorld, Tan Sri Liew Kee Sin akan memiliki 3.6% saham selepas penggabungan.

Anak beliau, Liew Tian Xiong, yang juga merupakan Pengarah Eksekutif EcoWorld akan memiliki 2.8% saham syarikat yang digabungkan ini.

Sinar Harta Sdn Bhd , EcoWorld Developement Holdings Sdn Bhd, dan Jernih Padu Sdn Bhd, tiga syarikat yang mempunyai milik saham EcoWorld, masing-masing akan memiliki 12.6%, 3.4%, dan 1.9% saham dalam syarikat gabungan ini.

Komposisi lembaga pengarah dijangka akan mempunyai wakil di antara UEM Sunrise, dan EcoWorld, tetapi perkara ini belum disahkan oleh mana-mana pihak lagi, kerana sebuah jawatankuasa integrasi akan dibentuk susulan penggabungan ini dibenarkan untuk berlansung oleh pihak berkuasa.

Menurut laporan yang diserahkan kepada Bursa, Jawatankuasa Integrasi ini akan dipengerusikan secara bersama, oleh kedua-dua pengerusi lembaga UEM Sunrise dan EcoWorld.

UEM Group mengesahkan bahawa sebuah Skim Opsyen Saham Pekerja baharu akan dibuat untuk pekerja-pekerja dalam kedua-dua syarikat ini akan dilaksanakan sekiranya penggabungan ini dibenarkan untuk diteruskan.

Pengerusi lembaga pengarah UEM Group, Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin dilaporkan berkata bahawa terdapat satu trend yang dilihat diantara pemain industri hartanah di beberapa pasaran, seperti di China, Thailand, dan India.

Menurut beliau, pasaran hartanah di Malaysia masih mencabar, dan satu keadaan di mana unit jualan hartanah di Malaysia masih banyak yang belum terjual (overhang). Keadaan seperti ini mewujudkan satu kondisi di mana konsolidasi antara pemain industri patut dilakukan.

Tengku Datuk Seri Azmil dilaporkan berkata bahawa Khazanah Nasional telah memberikan sokongan untuk penggabungan ini dilakukan.

Sehingga awal Selasa, pihak berkuasa belum memberikan kata putus untuk membenarkan penggabungan ini dapat diteruskan, namun pemerhati industri berkata kelulusan untuk kedua pihak ini teruskan usaha untuk menggabung dijangka akan mendapat kelulusan untuk berbuat demikian dalam jangka masa terdekat.