Skip to main content

Malaysia

Pertikaian komersial selesai lima hari melalui mediasi pro bono - Azalina

Kuala Lumpur , 18 Mei 2026. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menyampaikan ucapan berikutan  Majlis Pelancaran Khidmat Pro Bono Komersial Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di Auditorium AIAC Bangunan Sulaiman. Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Azalina bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Khidmat Pro Bono Komersial AIAC, di sini pada Isnin. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan penyelesaian pertikaian komersial di bawah inisiatif baharu mediasi pro bono dapat dicapai dalam tempoh singkat antara tiga hingga lima hari, sebagai usaha mempercepatkan akses kepada keadilan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, inisiatif yang diperkenalkan melalui Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) itu menawarkan platform penyelesaian pertikaian komersial bagi kes bernilai RM250,000 dan ke bawah.

Beliau berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian usaha kerajaan memperkukuh ekosistem penyelesaian pertikaian alternatif (ADR) serta mengurangkan kebergantungan terhadap proses litigasi yang panjang di mahkamah.

“Saya mahu menggalakkan pihak-pihak yang terlibat, jika boleh, cuba menyelesaikan pertikaian ini dalam tempoh tiga hari.

“Apabila semua pihak bersetuju untuk bertemu, mereka boleh terus berbincang dan cuba mencapai penyelesaian dengan lebih cepat. Jika tidak, kita akan berdepan keadaan seperti di mahkamah yang kadangkala mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan.

“Kita juga tidak boleh memaksa mahkamah untuk mempercepatkan pendengaran sesuatu kes.

“Justeru, saya menggalakkan semua pihak yang mempunyai kes di bawah RM250,000, sama ada kes kontrak atau mana-mana jenis pertikaian dalam senarai tersebut,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Khidmat Pro Bono Komersial AIAC, di sini pada Isnin.

Azalina berkata, inisiatif itu merangkumi 26 jenis pertikaian komersial dan sivil, termasuk kes kontrak, kerja, kegagalan pembayaran perkhidmatan serta pertikaian perniagaan kecil.

Beliau berkata, kerajaan akan menilai keberkesanan program tersebut terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan perluasan skop kepada nilai tuntutan lebih tinggi atau bidang lain termasuk pertikaian keluarga.

“Buat masa ini kita fokus kepada kes komersial dahulu. Jika berjaya, kita boleh lihat kemungkinan diperluaskan kepada bidang lain,” katanya.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, inisiatif tersebut tidak mengambil kira status pendapatan seperti B40 atau M40, sebaliknya terbuka kepada semua pihak yang mempunyai pertikaian komersial dalam skop ditetapkan.

Skop pertikaian komersial itu merangkumi perkhidmatan, pembekalan, jual beli, perdagangan dan pemasaran, hartanah, syarikat dan perkongsian, e-dagang serta ekonomi digital.
 

Must Watch Video