KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Berhad mampu menjana keuntungan lebih baik dengan menggunakan dana sedia ada bagi mendapatkan tanah lain dengan harga yang lebih menarik potensi pemulihan yang lebih pantas.

Kumpulan itu sebelum ini gagal membeli tanah pegangan bebas yang terletak berhampiran Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) gagal dimuktamadkan selepas syaratsyarat terdahulu di bawah perjanjian jual beli (SPA) tidak dipenuhi dalam tempoh bersyarat, yang tamat kelmarin.

Menurut syarikat pemaju hartanah itu, vendor, Nipponkey Sdn Bhd akan membayar balik deposit kepada anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Lucky Bright Star Sdn Bhd, termasuk sebarang faedah terakru, dalam tempoh 14 hari, memandangkan SPA itu telah luput.

Tanah seluas 2.58 hektar itu terletak di Lot 228, Jalan Sultan Yahya Petra (dahulunya dikenali sebagai Jalan Semarak), iaitu kira-kira 2.5 kilometer timur laut KLCC.

AmInvestment Bank Berhad berkata, nisbah kos kepada Nilai Pembangunan Kasar (GDV) bagi tanah berkenaan sebanyak 26% adalah tidak menarik berbanding julat purata industri antara 15% hingga 20%.

"Kumpulan itu boleh mendapatkan tanah lain yang menawarkan margin keuntungan lebih baik dengan menggunakan dana sedia ada," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Pada 4 Ogos lalu, UEM Sunrise mengumumkan cadangan pembelian tanah itu membabitkan pertimbangan berjumlah RM384 juta yang dilaksanakan secara tunai sebanyak RM235.8 juta dan pembayaran 'in-kind' sebanyak RM148.25 juta.

Penyelesaian melalui pertimbangan 'in-kind' itu melibatkan Nipponkey memeterai 16 perjanjian pelupusan dan pemindahan tanah (DLTA) dengan anak syarikat tidak langsung milik penuh UEM Sunrise, Nusajaya Rise Sdn Bhd (NRSB) dan Symphony Hills Sdn Bhd (SHSB), pemilik berdaftar seluas 107.82 ekar tanah yang terletak di Tanjung Kupang, Johor, serentak dengan pelaksanaan Lot 228 SPA.

Di antara 16 DLTA, dua antara SHSB dan Nipponkey adalah untuk pelupusan dan pemindahan dua bidang tanah bumiputera yang ditakrifkan sebagai 'Tanah Bumi SHSB'.

Sambil mengekalkan unjuran pendapatan bagi FY22F/FY23, firma itu menurunkan unjuran untung bersih FY24 sebanyak 1% bagi  mengecualikan sumbangan daripada tanah Jalan Sultan Yahya Petra.

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga wajar (FV) 25 sen sesaham. - DagangNews.com