KUALA LUMPUR: Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) PT Bank Maybank Indonesia Tbk (Maybank Indonesia) untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2021 meningkat 29.9 peratus kepada 1.64 trilion rupiah (1 juta rupiah = RM291) daripada 1.27 trilion rupiah pada tahun sebelumnya.

Dalam kenyataan pada Isnin, menurut Kumpulan Maybank, PATAMI yang lebih baik itu didorong oleh peruntukan yang lebih rendah, penurunan kos dana dan kos overhed dan disokong oleh prestasi kukuh daripada unit perbankan Shariah, berikutan pemulihan ekonomi secara beransur-ansur di Indonesia berlaku semasa pandemik COVID-19.

Pendapatan faedah bersih (NII) menurun sebanyak 2.0 peratus kepada 7.12 trilion rupiah pada Disember 2021 daripada 7.26 trilion rupiah pada tahun sebelumnya, kesan daripada pertumbuhan pinjaman yang lebih rendah dan trend penurunan daripada hasil pinjaman, sejajar dengan pengurangan kadar Bank Indonesia dan penstrukturan semula pinjaman pelanggan yang berterusan yang terjejas akibat pandemik.

Bagaimanapun, Maybank berkata margin faedah bersih (NIM) meningkat sebanyak 14 mata asas kepada 4.7 peratus pada Disember 2021, disumbangkan oleh peningkatan dalam kos dana dan pertumbuhan akaun semasa dan simpanan (CASA) yang sihat.

Katanya pendapatan berasaskan fi Maybank Indonesia merosot 12.1 peratus kepada 2.09 trilion rupiah pada Disember 2021 daripada 2.38 trilion rupiah pada tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan penurunan yuran berkaitan pasaran global.

"Bagaimanapun, bank mampu mengekalkan momentum pertumbuhan dan mengukuhkan pendapatan berkaitan runcitnya seperti bankasurans, yang meningkat 26.9 peratus kepada 201 bilion rupiah pada Disember 2021 daripada 156 bilion rupiah pada tahun sebelumnya.

"Walaupun tekanan dalam pendapatan faedah bersih bank dan pendapatan berasaskan yuran yang lebih rendah, keuntungan bersih meningkat hampir 30 peratus apabila kos peruntukan meruncing disebabkan peruntukan awal, yang dibuat pada tahun-tahun sebelumnya bersama-sama dengan kos overhed yang dikawal," katanya.

Maybank Indonesia telah mengambil langkah konservatif sejak 2020, untuk mengenepikan peruntukan untuk akaun, merentas semua segmen perniagaan, yang terjejas oleh persekitaran ekonomi yang mencabar dan turut meneruskan usahanya untuk membantu pelanggan yang menghadapi cabaran dan memberi tumpuan kepada penstrukturan semula kredit untuk menjaga kualiti aset.

"Peruntukan awalan ini digabungkan kepada peningkatan positif daripada penstrukturan semula pada tahun tersebut kini telah menyumbang kepada penurunan peruntukan kerugian pinjaman sebanyak 25.8 peratus kepada 1.54 trilion rupiah," menurut kumpulan itu.

Nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) disatukan bank berada pada 3.7 peratus (kasar) dan 2.6 peratus (bersih) pada Disember 2021 daripada 4.0 peratus (kasar) dan 2.5 peratus (bersih) pada Disember 2020, disokong oleh baki NPL yang lebih rendah, yang menurun sebanyak 10.8 peratus.

Menurut Maybank, operasi di Indonesia mengekalkan pendekatan perbankan yang berhemat dan mengekalkan kedudukan risikonya pada tahap yang baik untuk memastikan kualiti aset kekal kukuh.

Presiden Direktor Maybank Indonesia Taswin Zakaria berkata 2021 kekal sebagai tahun yang mencabar bagi Maybank Indonesia, berdasarkan gelombang kedua COVID-19.

"Namun begitu, kempen kerajaan mengenai program vaksinasi dan pelaksanaan protokol kesihatan membantu mempercepatkan pemulihan menjelang suku akhir 2021.

"Kami optimis bahawa keyakinan orang ramai dan momentum pemulihan ekonomi akan berterusan pada 2022 walaupun cabaran tersebut kekal.

"Di tengah-tengah ketidaktentuan ini, kami tetap berhemat dalam menjalankan perniagaan perbankan kami untuk mengekalkan asas bank dan pada masa sama, kami berharap untuk mengoptimumkan usaha pemerolehan di seluruh perniagaan kami dengan mengukuhkan produktiviti dan kerjasama antara pelbagai perkhidmatan perbankan, untuk memberikan nilai kepada pelanggan, sejajar dengan misi kami, Menginsankan Perkhidmatan Kewangan," katanya.

Sementara itu, Presiden Komisioner Maybank Indonesia Datuk Seri Abdul Farid Alias berkata Maybank Indonesia telah meneruskan fasa pertumbuhannya, terutamanya pada suku keempat 2021 yang menunjukkan keupayaan bank untuk berkembang walaupun semasa pandemik.

"Walaupun ketidakpastian masih kekal, kami optimis Maybank Indonesia akan dapat mengharungi cabaran melalui pendekatan perbankan berhemat dalam peningkatan aset dan kecairan, disokong oleh pengurusan risiko yang kukuh.

"Maybank Indonesia akan terus berinovasi dan menyediakan penyelesaian kewangan yang mengutamakan pelanggan berdasarkan data dan cadangan digital, dalam usaha kami untuk membantu ekonomi berkembang dan mengembangkan perkhidmatan kami kepada masyarakat," katanya.

-- BERNAMA