KUALA LUMPUR : Maybank mencatatkan pendapatan lebih tinggi bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (TK21) dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 25.8 peratus tahun ke tahun (T-k-T) kepada RM10.89 bilion, berbanding RM8.66 bilion pada tahun sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Abdul Farid Alias berkata, keuntungan bersih meningkat kepada RM8.1 bilion, iaitu 24.9 peratus lebih tinggi daripada RM6.48 bilion yang dicatatkan tahun sebelumnya.

Abdul Farid berkata, pendapatan operasi bersih meningkat 2.8 peratus kepada RM25.45 bilion, sejajar dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 3.1 peratus pada 2021.

"Ini disokong oleh peningkatan 14.6 peratus T-k-T dalam jumlah pendapatan berasaskan dana bersih kepada RM19.09 bilion dibantu oleh pinjaman yang lebih kukuh, serta pertumbuhan ketara akaun semasa dan akaun simpanan (CASA), yang membantu margin faedah bersih (NIM) berkembang 22 mata asas T-k-T.

"Walaubagaimanapun, ia diimbangi sebahagiannya oleh penurunan 21.6 peratus dalam pendapatan fi bersih kepada RM6.36 bilion. Ini disebabkan terutamanya oleh keuntungan bersih yang lebih rendah dalam pendapatan pelaburan dan kerugian nilai pasaran bagi portoflio pendapatan tetap yang dipegang oleh unit insurans disebabkan oleh peningkatan hasil," katanya dalam satu sidang media secara maya pada Khamis.

Selain itu, Maybank turut mengumumkan dividen interim kedua satu peringkat sebanyak 30 sen sesaham, yang terdiri daripada bahagian boleh pilih sebanyak 7.5 sen sesaham di bawah jumlah Pelan Pelaburan Semula Dividennnya.

"Ini menjadikan dividen tahun penuh berjumlah 58 sen sesaham, dan diterjemahkan kepada nisbah pembayaran dividen tahun penuh sebanyak 84.5 peratus atau RM6.64 bilion," tambahnya. 

Sementara itu, keuntungan operasi praperuntukan kumpulan meningkat kepada RM13.93 bilion daripada RM13.54 bilion pada tahun sebelumnya.

Pada suku keempat 2021, Kumpulan Maybank telah mencatatkan peningkatan PBT sebanyak 36.5 peratus kepada RM2.72 bilion berbanding tahun sebelumnya, berikutan pembukaan ekonomi serantau dalam tempoh tersebut.

Sementara, keuntungan bersih meningkat sebanyak 33.8 peratus kepada RM2.06 bilion. 

Aliran sama dapat dilihat pada prestasi suku keempat, dengan keuntungan bersih kumpulan yang meningkat sebanyak 22.1 peratus kepada RM2.06 bilion berbanding RM1.68 bilion pada suku ketiga 2021, apabila kerugian susut nilai bersih berkurangan 40.6 peratus kepada RM668.4 juta manakala pendapatan operasi bersih meningkat 2.4 peratus kepada RM6.3 bilion. 

Maybank juga akan kekal teguh dalam mengejar cita-cita M25 untuk membolehkan penciptaan nilai yang bermakna dan berkekalan.

“Kekuatan dan daya tahan kewangan kami adalah hasil daripada tumpuan dalam membina kecairan, modal, serta amalan kredit dan pengurusan risiko yang kukuh di seluruh kumpulan selama ini.

"Ini telah membantu kami mengatasi wabak COVID-19 dan memberi keupayaan untuk menyokong pelanggan kami yang memerlukan. Walaupun terdapat risiko COVID-19 yang berlarutan untuk tahun 2022 berikutan peningkatan mendadak kes, kelebihannya ialah ramai yang telah divaksin sepenuhnya dan kami sedang belajar untuk hidup dengan kewujudan mutasi virus ini.

"Maybank akan kekal teguh dalam mengejar cita-cita M25 untuk membolehkan penciptaan nilai yang bermakna dan berkekalan," jelas beliau lagi.