KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Sunway Bhd pada tahun kewangan berakhir 31 Dis 2022 (tahun kewangan 2022) merosot kepada RM676.69 juta daripada RM2.66 bilion pada tahun lepas.

Perolehan, bagaimanapun, melonjak sebanyak 39.8 peratus kepada RM5.19 bilion daripada RM3.72 bilion sebelum ini, berikutan sumbangan yang tinggi daripada semua segmen perniagaan, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Khamis.

Pada suku keempat tahun kewangan 2022, keuntungan bersihnya susut kepada RM202.98 juta daripada RM2.45 bilion pada tahun lepas manakala perolehan meningkat kepada RM1.53 bilion daripada RM1.25 bilion sebelum ini.

Dalam kenyataan berasingan, Sunway berkata perolehan lebih tinggi itu berikutan sumbangan yang tinggi daripada semua segmen perniagaan kecuali segmen pembinaan dan lain-lain.

Kumpulan itu telah mengisytiharkan dividen interim kedua satu peringkat sebanyak 3.5 sen sesaham dan skim pelaburan semula dividen (DRS) akan digunakan, apabila bahagian boleh pilih sebanyak dua sen sesaham yang dipegang boleh dipilih untuk dilaburkan semula dalam saham biasa baharu dan baki 1.50 sen sesaham yang dipegang akan dibayar secara tunai.

Butiran mengenai DRS, termasuk kelayakan dan tarikh pembayaran akan ditentukan dan diumumkan dalam masa terdekat, katanya.

Selain itu, kumpulan tersebut akan mengisytiharkan dividen keutamaan sebanyak 5.25 peratus setahun (berdasarkan harga terbitan RM1) setiap saham keutamaan boleh tukar tidak boleh tebus berhubung tempoh kewangan dari 1 Julai 2022 hingga 31 Dis 2022.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Chong Chang Choong berkata kumpulan mengekalkan momentum pertumbuhannya yang kukuh, disokong oleh pertumbuhan ekonomi domestik yang baik pada suku akhir tahun tersebut.

"Walaupun pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka sederhana pada 2023, kumpulan optimis secara berhati-hati bahawa ia dapat mengekalkan momentum pertumbuhannya pada masa depan.

"Kumpulan menjangka perniagaan riadah dan hiburan, hospitaliti dan penjagaan kesihatannya akan terus mendapat manfaat daripada aktiviti riadah dan hiburan ke dalam negeri dan pelancongan berkaitan perubatan yang semakin baik terutamanya dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa China yang akan meningkatkan lagi ketibaan pelancong," katanya.

-- BERNAMA