KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) mencatat keuntungan bersih lebih tinggi kepada RM872.20 juta bagi suku kedua berakhir pada 30 Jun, 2022 daripada RM821.50 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

Prestasi tersebut disumbangkan oleh peningkatan keuntungan operasi yang disokong oleh kerugian bersih instrumen kewangan yang lebih rendah.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Selasa, syarikat utiliti negara itu berkata keuntungan bersih bagi suku kedua tersebut bagaimanapun diimbangi oleh kenaikan ketara dalam kerugian tukaran mata wang asing serta perbelanjaan cukai.

Perolehan hasilnya melonjak kepada RM19.14 bilion daripada RM12.44 bilion sebelum ini, disebabkan oleh peningkatan "kekurangan kedudukan pemulihan" mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak RM6.30 bilion berbanding RM314.6 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

TNB telah meluluskan dividen interim satu peringkat sebanyak 20 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2022 yang berjumlah RM1.15 bilion dan pengumuman berkaitan termasuk tarikh pembayaran akan diumumkan kelak.

Bagi tempoh selama enam bulan (separuh pertama), keuntungan bersih TNB susut kepada RM1.77 bilion daripada RM1.78 bilion sebelum ini, disebabkan oleh peningkatan perbelanjaan cukai, termasuk tambahan RM257.3 juta bagi Cukai Makmur pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2022.

Selain itu, hasil bagi separuh pertama itu meningkat kepada RM34.80 bilion berbanding RM23.92 bilion sebelum ini.

Menurut TNB, bagi kemajuan masa depan, walaupun prestasi lebih berdaya tahan dicatatkan pada separuh pertama 2022 yang didorong oleh peningkatan pertumbuhan tenaga sebanyak 5 peratus bagi tahun ke tahun, kumpulan itu sebaliknya masih berdepan cabaran selain terdedah kepada impak kenaikan harga bahan api yang meningkatkan baki belum terima.

"Kumpulan menjangkakan prestasi bagi 2022 adalah munasabah dan kekal berhati-hati terhadap impak kenaikan harga bahan api yang berterusan serta unjuran risiko kredit para pelanggan," katanya.

Sehubungan itu, kumpulan terbabit akan terus melaksanakan langkah-langkah berhemat yang sejajar dengan keperluan operasi dan kewangan dalam usaha memastikannya untuk terus berdaya tahan.

-- BERNAMA