KUALA LUMPUR: Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) membuktikan keberhasilan program bimbingan anjurannya melalui pencapaian amat memberangsangkan sepanjang tahun ini.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, ia menunjukkan peningkatan RM13.3 juta hasil jualan, penciptaan 392 pekerjaan baharu, manakala 33 usahawan bertukar status perniagaan daripada mikro kepada kecil.

Jelas beliau, prestasi cemerlang itu berjaya dicapai melalui pelaksanaan dua program bimbingan iaitu INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) dan Program Bimbingan Keuntungan Menu.
 

“Pada 2023, INSKEN telah merealisasikan 30 program bimbingan yang memberi manfaat kepada 809 usahawan di seluruh Malaysia.

“Pencapaian hari ini adalah sebuah penanda aras yang membuktikan bahawa usahawan memerlukan bantuan dari pelbagi sudut termasuklah bimbingan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ewon berkata pencapaian keseluruhan tersebut turut dijana oleh 484 usahawan mikro yang baru sahaja tamat mengikuti 18 program bimbingan.

“RM8.6 juta peningkatan hasil jualan (Program IBBC & Program Bimbingan Keuntungan Menu), 156 pekerjaan baharu (Program IBBC) dan 13 usahawan bertukar status perniagaan daripada mikro kepada kecil.

“Selain itu, 41 usahawan menambah medium penghantaran makanan baharu (Program Bimbingan Keuntungan Menu) dan 188 peratus peningkatan skor diagnostik dan 100 peratus mendaftar perniagaan secara sah (Program INSKEN Start-Up Coaching),” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, pecahan peningkatan RM8.6 juta hasil jualan masing-masing meliputi RM8.4 juta daripada 307 peserta Program IBBC, manakala lebih RM204,000 daripada 59 peserta Program Program Bimbingan Keuntungan Menu.

Jelas beliau, lebih separuh daripada peserta program bimbingan tersebut melangkaui sasaran awal yang ditetapkan iaitu peningkatan hasil jualan minimum 20 peratus.

“Lebih membanggakan lagi, 13 usahawan telah bertukar status perniagaan mereka daripada mikro kepada kecil. 

“Bagi Program INSKEN Start-Up Coaching, pencapaiannya diukur melalui peningkatan skor diganostik dan pendaftaran perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) secara sah,” kata beliau.