LABUAN: Straits Energy Resources Bhd. menerusi unitnya, Victoria STS (Labuan) Sdn. Bhd. berjaya menyelesaikan pemindahan gas asli cecair (LNG) pertama dari kapal ke kapal (STS) di Labuan Port Limit, yang menandakan pemindahan LNG STS pertama yang dibuat di Labuan.

Ketua Pegawai Eksekutif Victoria STS, Benjamin Bernard Bijion berkata, syarikat berjaya menyelesaikan operasi STS tanpa sebarang kecederaan yang dilaporkan kepada kakitangan atau kesan terhadap alam sekitar.

"Pelbagai senario telah dipertimbangkan, dan ini dicapai melalui usaha kolektif dan kerjasama semua pihak yang terlibat dalam operasi ini, dengan kerjasama dan sokongan pelanggan Victoria," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Turut hadir pada operasi STS itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Ismail; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan, Ismaidi Ismail serta Pegawai Kastam Labuan dan Naib Pengerusi Dewan Perniagaan Labuan, SK Tan.

Victoria STS pakar dalam pengendalian luar pesisir bagi gas cecair dan kargo petroleum pukal. Syarikat itu menerima lesen pertamanya untuk menjalankan operasi STS bagi produk minyak dan gas cecair dalam Had Pelabuhan Victoria pada Julai 2021.

Victoria Bay terletak di lokasi yang strategik di sepanjang laluan perkapalan antarabangsa dan perdagangan tenaga.

Visi Straits adalah untuk membangunkan Labuan sebagai salah satu hab pemindahan kapal terbesar di Asia.

Hab STS juga terletak secara strategik di sekitar Labuan Liberty Port yang diurus dan dikendalikan oleh Megah Port Management Sdn. Bhd. (MPM), anak syarikat milik 51 peratus Straits.

Sementara itu, Rithuan berkata, pemindahan itu bukanlah aktiviti baharu di Labuan tetapi terdapat keperluan untuk mempelbagaikan aktiviti O&G.

Katanya, Perbadanan Labuan, menyokong penuh operasi STS kerana ia akan memberi kesan limpahan kepada ekonomi Labuan.

"Sejak dua hingga tiga tahun lalu, keadaan adalah amat mencabar. Jadi kami melihat ia adalah pencetus kepada kemakmuran ekonomi tempatan.

"Antaranya termasuklah pengambilan kerja krew, sektor perkhidmatan, pajakan bot/kapal/kapal pengangkut, pembekalan bahan mentah, dan pembelian peralatan kecil dan keperluan dari pulau berkenaan," katanya. - DagangNews.com