Meskipun lewat dalam memenuhi janji pilihan raya, pakar ekonomi kekal yakin terhadap pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan dengan diterajui Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyasarkan Malaysia sebagai negara bebas rasuah selain rancak dari segi ekonomi.

Menjelang 18 Ogos, 2018 sebagai tarikh menandakan 100 hari pertama pentadbiran PH selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), pakar ekonomi berkata tempoh itu adalah terlalu pendek untuk PH memenuhi janji pilihan rayanya selain bagi menyaksikan perubahan serta membawa pembaharuan secara ketara.

Oleh itu, mereka berpendapat kerajaan pimpinan PH perlu mengambil peluang ini untuk merancang hala tuju masa depan negara dan tidak hanya menumpukan janji yang dibuat semasa PRU14.

Menurut Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, memandangkan tahap ketidaktentuan ekonomi yang amat tinggi disebabkan faktor luaran, adalah hampir tidak realistik untuk menjangkakan perubahan akan berlaku serta-merta.

"Ekonomi Malaysia sangat terdedah kepada keadaan global dan pada masa ini, penghindaran risiko menjadi semakin jelas. Jadi ini mungkin menjejaskan pasaran dan sentimen perniagaan selain permintaan.

"Kerajaan PH bekerja dalam keadaan kekangan yang mereka hadapi sekarang seperti kedudukan fiskal dan prospek ekonomi yang mencabar.

"Bagaimanapun, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar peratus dan kemudiannya memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada September menunjukkan kerajaan komited untuk menunaikan janji pilihan rayanya," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata selain itu, subsidi bahan api dengan RON95 terus kekal stabil telah membantu rakyat dalam berdepan kenaikan kos sara hidup.

"Jelas, ia bukan sesuatu yang mudah terutama apabila melibatkan agensi penarafan kredit dan risiko penarafan negara diturunkan. Ia menjadi perkara yang kerajaan perlu akui.

"Oleh itu, kita boleh melihat kerajaan PH menjadi pragmatik dalam melaksanakan janji pilihan raya mereka memandangkan masih ada lagi yang tertangguh," katanya.

Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, Profesor Emeritus Dr Zakariah Abdul Rashid juga menyuarakan nada yang sama dengan berpendapat, kawalan harga RON95 (RM2.20 seliter), RON97 (RM2.65 seliter) dan diesel (RM2.18 seliter) akan membantu mengurangkan beban perbelanjaan bahan api isi rumah.

"Ia membantu sedikit meringankan kos sara hidup namun dasar pengekalan harga RON95 dan diesel bukanlah penyelesaian jangka panjang," katanya.

Pemansuhan GST, penstabilan harga bahan api, penangguhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), siasatan ke atas 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan caruman suri rumah ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah antara pencapaian serta-merta di bawah manifesto PH yang membentangkan 10 janji.

Mengimbas kembali, dua bulan sebelum PRU14, PH telah melancarkan manifesto 60 janji pilihan raya yang membentuk dasarnya, yang dibahagikan kepada dua kategori umum, iaitu 10 janji akan ditunaikan dalam tempoh 100 hari pertama sebagai kerajaan, serta janji yang bakal dimuktamadkan dalam tempoh lima tahun.

Dr Mahathir ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat baru-baru ini, memberi jaminan bahawa kerajaan akan mematuhi janji manifesto PH bagi PRU14 dan amat komited untuk berbuat demikian.

Beliau juga berkata kerajaan bukan sahaja menumpukan kepada pelaksanaan janji tersebut malah menambah baik pentadbiran kerajaan.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada GST berkadar sifar peratus sejak Jun hingga Ogos dapat mengurangkan kos sara hidup, Mohd Afzanizam berkata kesan itu tidak menyeluruh.

"Mungkin amalan perniagaan juga menjadi faktor penyumbang utama kenaikan kos sara hidup. Ini benar terutama apabila kecenderungan rakyat Malaysia untuk berbelanja adalah tinggi, dan sehingga ke peringkat tertentu, mereka sudah tidak mempunyai kawalan untuk menentukan harga.

"Sikap ini membolehkan perniagaan mengekalkan atau menaikkan harga. Oleh itu, penguatkuasaan undang-undang sedia ada seperti Akta Kawalan Harga dan Akta Anti Pencatutan adalah langkah utama untuk menstabilkan harga," katanya.

Mengenai langkah kerajaan memperkenalkan semula SST mulai bulan depan, Pengerusi Eksekutif Top Glove Corporation Bhd, Tan Sri Lim Wee Chai berkata, ia dilihat baik bagi perniagaan memandangkan langkah itu akan menamatkan isu pemulangan cukai yang tertunggak.

"SST bersifat lebih langsung, ringkas dan lebih mudah untuk difahami berbanding GST (contohnya: istilah teknikal seperti cukai input yang disekat, bekalan berkadar sifar dan bekalan yang dikecualikan).

"Selain itu, kami juga difahamkan laman web "My SST" akan diperkenalkan, dengan semuanya akan dijalankan secara dalam talian, ini akan mewujudkan lebih kecekapan," katanya.

Bagaimanapun, Dr Zakariah berkata penstrukturan semula SST selepas tempoh tanpa cukai akan mendorong tambahan kos baharu.

"Sudah tentu ia akan meningkatkan harga barangan dalam jangka pendek disebabkan kos tambahan memandangkan golongan peniaga mengekalkan penetapan harga yang lebih tinggi," katanya. -- Bernama