DAVOS: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres mengesa pemimpin dunia untuk mengatasi ancaman perubahan iklim terhadap kehidupan manusia serta pembangunan terlampau bebas Kecerdasan Buatan (AI), selain reformasi tadbir urus.

Menurut beliau dunia tidak mempunyai strategi jelas untuk berdepan dengan ancaman yang dicetuskan oleh perubahan iklim dan kemajuan mendadak AI meskipun topik itu sering kali dibincangkan di pelbagai platform.

“Kita tidak mempunyai strategi global yang berkesan untuk berdepan dengan kedua dua ancaman yang wujud di bawah kedua perkara tersebut.

“Perpecahan geopolitik menyebabkan kita gagal untuk bersatu mencari penyelesaian global,” kata Guterres di World Economic Forum (WEF) di Davos, Switzerland.

Guterres sekali lagi menekankan tentang soal iklim yang mana 2023 diiktiraf sebagai tahun paling panas dengan kemarau, taufan, kebakaran dan banjir menjejaskan komuniti dunia dan suhu dunia meningkat kepada 3 darjah Celsius.

“Saya tekankan sekali lagi, pengurangan bahan bakar fosil adalah penting dan tidak dapat dielakkan. Kita mesti bertindak sekarang untuk memastikan peralihan yang adil dan saksama kepada tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Beliau turut tegaskan, perubahan iklim tidak hanya mewujudkan risiko besar kepada manusia dan alam sekitar, malah negara yang berdepan dengan kesan iklim turut mengalami kesukaran kewangan.

Malah lebih separuh daripada 75 negara termiskin dunia berdepan tekanan hutang dan selepas berpuluh tahun usaha membasmi kemiskinan dan kebuluran, perkembangan itu kini terbantut, malah di sesetengah negara, ia semakin memburuk.

Pada sesi sama, Guterres turut menyeru seKtor swasta untuk menyertai usaha pelbagai pihak bagi membangunkan kerangka tadbir urus yang boleh digunapakai untuk mengurus risiko yang dicetus oleh perkembangan pesat AI.

Usaha itu katanya adalah bagi menyokong badan penasihat PBB berkaitan tadbir urus AI dalam memberikan cadangan yang memberi manfaat kepada teknologi baharu serta mengurangkan risiko. 

“Kami memerlukan kerajaan dengan segera untuk bekerjasama dengan syarikat teknologi mengenai rangka kerja pengurusan risiko untuk pembangunan AI semasa, dan memantau serta mengurangkan bahaya masa depan,” katanya sambal menekankan keperluan untuk usaha sistematik bagi meningkatkan akses kepada AI supaya ekonomi membangun turut dapat meraih potensinya.