YTL Power perkasa transformasi AI Malaysia dengan Pusat Data Mega Johor

Yeoh percaya Malaysia kini berada pada landasan yang tepat untuk menjadi destinasi pilihan di Asia Tenggara bagi pembangunan AI seperti mana kejayaan negara dalam industri semikonduktor suatu ketika dahulu. - Gambar/ Bernama
GYEONGJU, Korea Selatan: Hasrat Malaysia untuk muncul sebagai peneraju serantau dalam bidang kecerdasan buatan (AI) kini setapak lagi ke hadapan dan menjadi realiti.
Ringkasan AI
- Malaysia kini selangkah ke hadapan dalam aspirasi menjadi peneraju AI serantau melalui pelaburan strategik YTL Power bersama Nvidia, dengan Pusat Data Mega Kulai di Johor yang telah mula beroperasi dan dijangka mencapai kapasiti penuh dalam dua tahun.
- YTL Power melabur RM10 bilion dalam inisiatif AI, termasuk pembangunan model bahasa besar (LLM) pertama milik Malaysia, ILMU, bagi menjamin kedaulatan data dan pemilikan harta intelek tempatan serta menyokong ekosistem AI negara.
- Infrastruktur AI YTL telah digunakan dalam aplikasi sebenar seperti pelancaran Ryt Bank, bank pertama di dunia yang dikuasakan sepenuhnya oleh AI, dan kerjasama dengan lebih 200 syarikat pemula tempatan, disokong oleh kerajaan melalui pemberian token pengkomputeran keutamaan.
Menurut Pengarah Urusan YTL Power, Datuk Seri Yeoh Seok Hong, kemudahan berskala besar itu, dibangunkan bersama gergasi teknologi Amerika Syarikat Nvidia, dijangka mencapai kapasiti penuh dalam tempoh dua tahun.
“Kami sudah membina dan mengoperasikan 300 megawatt di tapak ini.
"“Ia berkembang dengan sangat pantas, dan kami jangka dalam dua tahun akan datang, ia akan dipenuhi sepenuhnya," kata Yeoh kepada media selepas bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang di sela-sela Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC di sini.
Tenaga Hijau, Sambungan Global
Terletak di kawasan seluas 1,640 ekar, kampus Kulai ini menggunakan tenaga solar dan disokong oleh 600 megawatt bekalan grid nasional.
Ia dilengkapi dengan pemproses Nvidia NVL72 Grace Blackwell (GB200) yang menggunakan sistem penyejukan cecair, direka untuk menyokong beban kerja AI dan pembelajaran mesin berprestasi tinggi secara berskala besar.
Pusat data ini telah siap dan mula beroperasi bulan ini, dengan pelanggan termasuk hyperscaler global sudah mula menggunakan kemudahan tersebut.
“Kami sedang berbincang mengenai pengembangan selanjutnya. Namun kelajuan pengembangan itu bergantung kepada sejauh mana kerajaan Malaysia mengadaptasi penggunaan AI dalam operasi dan dasar mereka,” ujar beliau.
RM10 bilion untuk Masa Depan AI Malaysia
YTL Power telah melabur sebanyak RM10 bilion dalam inisiatif AI mereka — separuh untuk infrastruktur pusat data dan separuh lagi untuk penyelesaian AI.
Antara inovasi utama ialah pembangunan ILMU, model bahasa besar (LLM) pertama milik Malaysia yang dibangunkan bagi menjamin kedaulatan data dan pemilikan harta intelek (IP) tempatan.
“Ini adalah IP milik Malaysia. Ia membolehkan kita membina ekosistem sendiri dan memimpin pembangunan AI, terutamanya dalam kalangan negara membangun,” kata Yeoh.
Yeoh turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri kagum dengan kemajuan pesat yang dicapai sejak lawatan pertama Huang ke Malaysia 22 bulan lalu.
Perbincangan kini sedang dijalankan untuk menubuhkan jawatankuasa penasihat AI nasional, dengan penglibatan Nvidia, bagi mempercepatkan lagi strategi AI negara.
AI untuk Rakyat dan Serantau
Infrastruktur AI YTL kini sudah digunakan dalam aplikasi dunia sebenar.
Pelancaran Ryt Bank, bank pertama di dunia yang dikuasakan sepenuhnya oleh AI, membuktikan bagaimana teknologi Malaysia mampu menyediakan perkhidmatan kewangan yang selamat dan efisien termasuk di kawasan luar bandar.
“Anda boleh buka akaun dalam masa dua minit, walaupun dari kampung. Inilah transformasi yang AI boleh bawa kepada rakyat Malaysia,” kata Yeoh.
YTL juga bekerjasama dengan kira-kira 200 syarikat pemula tempatan, membantu mereka menyambung kepada ekosistem API YTL dan membangunkan penyelesaian berasaskan AI.
Kerajaan turut menyokong gelombang inovasi ini dengan menawarkan token pengkomputeran keutamaan, bagi memudahkan akses kepada keupayaan AI berprestasi tinggi.
Dengan kestabilan politik, kedudukan strategik dan infrastruktur teknologi yang semakin berkembang, Yeoh percaya Malaysia kini berada pada landasan yang tepat untuk menjadi destinasi pilihan di Asia Tenggara bagi pembangunan AI seperti mana kejayaan negara dalam industri semikonduktor suatu ketika dahulu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


