Skip to main content

Malaysia

Kes semikonduktor: 'Terpulang kepada SPRM untuk panggil PM, Amir Hamzah' - Rafizi

PUTRAJAYA, 14 Mei -- Bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli bercakap kepada pemberita semasa hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini untuk menyambung keterangan berhubung siasatan kes melibatkan kontrak kerajaan bernilai hampir RM1.1 bilion.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Rafizi bercakap kepada pemberita semasa hadir ke Ibu Pejabat SPRM hari ini untuk menyambung keterangan berhubung siasatan kes melibatkan kontrak kerajaan bernilai hampir RM1.1 bilion. - Foto Bernama

PUTRAJAYA: Datuk Seri Rafizi Ramli berpandangan bahawa terpulang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sama ada untuk memanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bagi melengkapkan siasatan berhubung pelaburan RM1.1 bilion antara kerajaan dan syarikat Arm Holdings plc.

Bekas Menteri Ekonomi itu berkata keputusan berkaitan pelaburan tersebut dibuat di peringkat Kabinet dan bukan melibatkan dirinya semata-mata.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, terdapat tiga individu penting terbabit dalam keputusan tersebut iaitu Perdana Menteri sendiri, Amir Hamzah serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri ketika itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

"Jadi bahan-bahan bukti yang saya serahkan tadi termasuklah dokumen-dokumen, yang pada pandangan saya menunjukkan bahawa keputusan itu telah mengikuti proses yang sepatutnya dan juga keterlibatan tiga orang ini.

"Terpulang kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan nanti, sama ada SPRM akan memanggil Perdana Menteri untuk bagi keterangan ataupun memanggil Senator Amir Hamzah.

"Saya rasa Tengku Zafrul pernah dipanggil tetapi selepas keterangan saya, sama ada SPRM akan memanggil kembali Tengku Zafrul lah berdasarkan dokumen yang saya serahkan tadi," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Khamis.

Beliau selesai menyerahkan dokumen tambahan sebanyak 28 item, dan memberikan keterangan secara sukarela kepada SPRM kira-kira dua jam selepas hadir pada jam 10 pagi tadi ke agensi berkenaan.

Mengulas lanjut, Rafizi turut menyifatkan sebagai tidak adil apabila hanya beliau dipanggil memberi keterangan sedangkan keputusan itu dibuat secara kolektif di peringkat Kabinet.

Justeru, bekas Timbalan Presiden PKR itu berpandangan bagi memastikan keadilan dan memahami keseluruhan proses, keterangan daripada semua pihak yang terbabit dalam keputusan itu wajar diambil.

"Kalau orang berada di tempat saya, sangat tidak adil saya dituduh dalam semua perkara ini sedangkan semua orang tahu ini keputusan Kabinet, tidak melibatkan wang langsung.

"Tetapi yang dipanggil beri keterangan hanyalah Rafizi, sedangkan yang buat keputusan itu orang lain juga.

"Saya bukan pegawai penyiasat SPRM, tetapi untuk berlaku adil, maka keterangan daripada orang lain yang turut sama membuat keputusan itu kena ambil juga," jelas beliau lagi.

Dalam masa sama, beliau berharap pihak berkuasa dapat memuktamadkan siasatan kes berkenaan secepat mungkin.

Rafizi antara yang disiasat berhubung pelaburan kerajaan dengan syarikat semikonduktor, Arm Holdings yang berpangkalan di United Kingdom (UK) bernilai RM1.1 bilion.

SPRM memaklumkan, setakat ini seramai 22 individu telah dipanggil memberikan keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

 

Must Watch Video