SEGAMAT: Kerajaan negeri Johor merancang untuk membangunkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ) dengan menggabungkan dua elemen utama iaitu teknologi tinggi dan hijau.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor Lee Ting Han berkata bagi menjayakan usaha itu, kerajaan negeri akan menjadikan dua bandar di negara China iaitu Shenzhen dan Guangzhou sebagai contoh.

Malah, kejayaan dua bandar berkenaan yang melalui transformasi daripada perkampungan nelayan kepada metropolis, telah menarik minat kerajaan Johor untuk melaksanakan pendekatan sama di beberapa kawasan negeri, terutama di JSSEZ.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri akan melawat dua bandar itu awal bulan depan untuk mendalami proses transformasi itu selain turut menemui (wakil) kerajaan China.

"Apa yang unik, kedua-dua bandar terbabit berjaya menggabungkan teknologi tinggi serta pada masa sama dapat mengimbangi dan menumpukan elemen penghijauan di situ," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Tahun Baharu Cina MCA Johor, di sini, pada Ahad.

Menjelaskan selanjutnya, Lee berkata selain bertemu dengan wakil kerajaan China dalam lawatan itu, beberapa pertemuan dengan syarikat berkaitan teknologi, kimia dan pengurusan data akan turut dilakukan selain menemui beberapa pelabur yang berpotensi.

"Kita akan pilih yang terbaik untuk dibawa balik ke Johor. Selain kerjasama, kita turut mempelawa pelabur untuk datang melabur. Inilah antara tujuan utama lawatan ini," katanya.

-- BERNAMA