KEMATIAN pemain dram kumpulan Foo Fighters, Taylor Hawkins kini disiasat oleh pihak berkuasa Colombia.

Pemuzik berusia 50 tahun itu ditemui mati dalam bilik sebuah hotel di Bogota pada Jumaat.

Berita pemergiannya dimaklumkan kumpulan tersebut namun punca kematian tidak diperincikan.

Dalam satu kenyataan pada lewat Sabtu, Peguam Negara Colombia berkata analisis toksikologi awal menunjukkan terdapat 10 jenis bahan kimia asing dalam badan mangsa, termasuk THC yang terkandung dalam ganja, antidepresen trisiklik, benzodiazepina dan opioid.

Tambah kenyataan itu, lazimnya kesemua bahan itu digunakan untuk merawat keresahan.

Namun beliau tidak menyatakan punca kematian atau jumlah kandungan bahan kimia yang ditemui dalam analisis tersebut.

"Institut Ubat-ubatan Berdaftar Kebangsaan akan teruskan siasatan bagi mendapat gambaran jelas berkenaan kejadian melibatkan Taylor Hawkins," kata kenyataan itu.

Hawkins disahkan meninggal dunia di sebuah hotel setelah dilapor mengalami sakit di bahagian dada.

BACA: Pemain drum Foo Fighters Taylor Hawkins meninggal dunia pada usia 50 tahun 


Foo Fighters | Pemain dram, Taylor Hawkins meninggal dunia

Foo Fighters kini dalam rangka jelajah persembahan di Amerika Selatan dan kumpulan itu dijadual untuk membuat penampilan di Festival Estereo Picnic pada Jumaat malam.

Penganjur festival tersebut berkata, kumpulan itu telah mengumumkan akan membatalkan semua persembahan yang dijadualkan sebelum ini.

"Keluarga Foo Fighters sangat berduka cita dengan pemergian rakan baik kami Taylor Hawkins," kata kumpulan itu dalam ciapan terbaharu di akaun rasmi Twitter.