DUNIA
11 lagi kapal belayar ke Gaza cabar sekatan Israel

Kapal Conscience yang berlepas meninggalkan Porto Otranto, Itali, jam 5.45 petang waktu tempatan dalam misi memecahkan kepungan haram rejim Zionis di Gaza. - Foto BERNAMA
ISTANBUL: Sebanyak 11 lagi kapal sedang belayar menuju Semenanjung Gaza bagi mencabar sekatan Israel yang berlarutan selama bertahun-tahun, menurut pertubuhan antarabangsa Freedom Flotilla Coalition (FFC) pada Khamis.
FFC dalam satu kenyataan berkata dua bot yang mengibarkan bendera Itali dan Perancis berlepas dari Otranto, Itali pada 25 Sept dan disertai kapal Conscience pada 30 Sept, lapor Anadolu Ajansi.
Menurut FFC, kapal-kapal berkenaan dijangka bergabung dengan satu lagi konvoi lapan buah bot, "Thousand Madleens to Gaza," dalam tempoh beberapa jam lagi. Kedua-dua kumpulan itu akan membentuk konvoi 11 kapal menuju Gaza.
Menurut gabungan itu, kira-kira 100 orang berada di atas kapal berkenaan, yang kini berada di perairan Crete.FFC, yang ditubuhkan pada 2008 telah melancarkan puluhan misi untuk menghantar bantuan dan menarik perhatian global terhadap krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza yang dikepung Israel.
Konvoi baharu ini berlepas sehari selepas pasukan tentera laut Israel menyerang dan merampas 42 bot yang belayar ke Gaza untuk mencabar sekatan Israel serta menahan lebih 450 aktivis di atas kapal.
Israel sebelum ini telah menyerang kapal menuju Gaza, merampas kargo mereka dan menghantar pulang aktivis yang berada di atas kapal.
Rejim itu mengekalkan sekatan ke atas Gaza yang dihuni hampir 2.4 juta penduduk selama hampir 18 tahun dan mengetatkan lagi sekatan pada Mac lalu apabila menutup lintasan sempadan serta menghalang penghantaran makanan dan ubat-ubatan, menyebabkan wilayah itu terjerumus ke dalam kebuluran.
Sejak Oktober 2023, pengeboman Israel telah meragut nyawa lebih 66,200 penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi berulang kali memberi amaran bahawa wilayah itu tidak lagi boleh didiami, dengan kebuluran dan penyakit merebak pantas.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami