WASHINGTON: Sekumpulan 12 orang Islam Amerika, termasuk Datuk Bandar New Jersey, menyaman Jabatan Kehakiman pada Isnin bagi mengeluarkan nama mereka daripada senarai pemantauan rahsia FBI, yang mereka sifatkan sebagai "daftar Islam de facto."

Saman itu, yang difailkan di Mahkamah Daerah AS di Massachusetts, menyebut bahawa dengan meletakkan individu itu dalam Pangkalan data Saringan Pengganas, kerajaan persekutuan telah "menghukum" plaintif kepada "kewarganegaraan kelas kedua seumur hidup."

Plaintif mendakwa telah mengalami kemudaratan, termasuk penghinaan awam, pengawasan, gangguan dalam perjalanan, penafian pekerjaan, dan "diasingkan secara berkesan dari Amerika Syarikat" dan menambah senarai itu sendiri merupakan "daftar Islam de facto" dengan lebih 98 peratus daripada individu dalam senarai itu terdiri daripada orang Islam," lapor Agensi Anadolu.

Menurut saman itu, walaupun selepas seseorang individu dikeluarkan daripada senarai berkenaan, mereka mengalami kesan yang memudaratkan seumur hidup.

Ia menamakan Peguam Negara Merrick Garland, Pengarah FBI Christopher Wray, Pengarah Perkhidmatan Rahsia AS Kimberly Cheatle, Penolong Peguam Negara bagi Bahagian Keselamatan Negara Matthew Olsen, Pengarah Perisikan Kebangsaan Avril Haines, dan lain-lain sebagai defendan bersama.

Plaintif termasuk Datuk Bandar Prospect Park New Jersey Mohamed Khairullah, yang tidak dijemput dalam sambutan Aidilfitri Rumah Putih pada saat-saat akhir pada Mei, Michael Migliore, seorang Islam Amerika yang tinggal di Arab Saudi, Nidal El-Takach, seorang penduduk Michigan dan sembilan yang lain.

-- BERNAMA