12 pelombong terbunuh dalam serangan dron Rusia di Ukraine

Sebuah bas yang membawa pekerja selepas tamat syif di Terenivka, wilayah Dnipropetrovsk, telah disasarkan dalam serangan tersebut. - Gambar ihsan Armed Forces of Ukraine
KYIV: Serangan dron Rusia di wilayah timur Ukraine mengorbankan sekurang‑kurangnya 12 pelombong, menurut syarikat tenaga swasta terbesar negara itu, DTEK.
Dalam kenyataan pada Ahad, DTEK memaklumkan, sebuah bas yang membawa pekerja selepas tamat syif di Terenivka, wilayah Dnipropetrovsk, telah disasarkan dalam serangan tersebut.
Sekurang‑kurangnya tujuh lagi dilaporkan cedera.
Serangan itu berlaku ketika beberapa kawasan lain turut berdepan serangan berasingan semalaman, mengorbankan sekurang‑kurangnya dua orang dan mencederakan sembilan yang lain.
Di Zaporizhzhia, sebuah hospital bersalin turut dilanda serangan dron yang mencederakan enam orang, termasuk dua wanita yang sedang melahirkan anak ketika letupan berlaku.
Ketua wilayah Zaporizhzhia, Ivan Fedorov menyifatkan serangan itu sebagai bukti bahawa Rusia sedang melancarkan “perang terhadap kehidupan.”
Rakaman di lokasi menunjukkan kerosakan serius pada bilik pesakit, bilik kanak‑kanak, tingkap pecah serta kesan kebakaran pada tingkat bawah bangunan.
Pasukan penyelamat dilihat membawa keluar pesakit dari kawasan yang masih terbakar.
Menteri Luar Ukraine, Andriy Sybiha berkata, serangan ke atas hospital itu menunjukkan Presiden Rusia, Vladimir Putin meneruskan “perang terhadap orang awam yang bercanggah dengan usaha damai.”
Rusia sebelum ini melancarkan gelombang serangan ke atas grid tenaga Ukraine sejak Januari, menjejaskan bekalan elektrik dan pemanasan ketika negara itu berdepan suhu ekstrem yang dijangka menjunam bawah -20°C.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sebelum ini mendakwa, Putin bersetuju menghentikan serangan kerana keadaan cuaca, namun Kremlin memaklumkan “perhentian sementara” itu berakhir pada Ahad. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


