JAKARTA: Sekurang-kurangnya 127 orang terkorban dalam rusuhan pada satu perlawanan bola sepak di Indonesia lewat malam tadi.

Dilaporkan dua daripada mangsa yang terbunuh adalah pegawai polis.


Menurut portal berita Kompas, seramai 180 yang lain turut dikejarkan ke hospital akibat kecederaan.


Keganasan berlaku di Stadium Kanjuruhan di Jawa Timur ketika perlawanan berlangsung di antara pasukan Arema dan Persebaya Surabaya.
,






Kekacauan tercetus selepas perlawanan berakhir 2-3 dengan kemenangan kepada pasukan pelawat.


Menurut laporan media tempatan, ribuan penyokong Arema meluru ke dalam padang selepas pasukan mereka tewas.

Beberapa pemain Arema yang ketika itu masih berada di atas padang turut diserang.

Dipercayai rempuhan bermula apabila polis melepaskan gas pemedih mata ke arah orang ramai.


Seorang pegawai kesihatan tempatan berkata ramai mangsa meninggal dunia akibat "kesesakan, dipijak, dan sesak nafas".


Liga bola sepak Indonesia kini digantung seminggu, dengan Arema dilarang daripada menganjurkan sebarang perlawanan sepanjang musim ini.


Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) dilapor akan membentuk pasukan penyiasat bagi mengenal pasti punca kejadian.