DUNIA
14 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di Gaza

Serangan genosid Israel di Gaza memasuki hari ke-700 pada Jumaat, dengan Israel telah membunuh lebih 64,300 rakyat Palestin. - AP
ANKARA: Sekurang-kurangnya 14 rakyat Palestin, kebanyakannya penduduk yang kehilangan tempat tinggal dan kanak-kanak, terbunuh dalam serangan Israel di Bandaraya Gaza pada waktu subuh Ahad, menurut sumber perubatan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Petugas perubatan tempatan memaklumkan kepada Anadolu bahawa dua kanak-kanak terbunuh manakala beberapa penduduk lain cedera apabila pesawat pejuang Israel mengebom sebuah khemah yang menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal di kejiranan al-Rimal di barat Gaza.
Menurut sumber itu, empat lagi rakyat Palestin terbunuh dan beberapa yang lain cedera dalam serangan Israel ke atas sebuah pangsapuri di bangunan al-Ghazali di kejiranan Sheikh Radwan di utara bandar berkenaan.
Dalam kejadian berasingan, lapan rakyat Palestin terbunuh dan beberapa yang lain cedera apabila pesawat Israel menyerang Sekolah al-Farabi, yang menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal berhampiran Stadium al-Yarmouk di Bandaraya Gaza.Bandaraya Gaza telah mengalami pengeboman berterusan sejak beberapa hari kebelakangan ini, dengan menara kediaman berulang kali menjadi sasaran dan musnah menjadi runtuhan.
Tentera Israel telah memperhebat serangannya di seluruh bandar itu, di mana ratusan ribu rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal mencari perlindungan selepas diusir dari rumah mereka di utara dan timur Gaza.
Serangan genosid Israel di Gaza memasuki hari ke-700 pada Jumaat, dengan Israel telah membunuh lebih 64,300 rakyat Palestin. Kempen ketenteraan itu telah memusnahkan wilayah berkenaan, yang kini menghadapi kebuluran.
November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung serangannya ke atas wilayah itu.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami