BEIRUT: Sekurang-kurangnya 254 orang terbunuh dan lebih 1,100 cedera dalam gelombang serangan udara besar-besaran Israel ke atas Lubnan, hanya beberapa jam selepas Amerika Syarikat dan Iran bersetuju melaksanakan gencatan senjata sementara selama dua minggu.
Serangan yang disifatkan tentera Israel sebagai yang terbesar setakat konflik ini menyasarkan kawasan padat penduduk termasuk Beirut, selatan Lubnan dan Lembah Bekaa.
Advertisement
Lebih 100 sasaran yang didakwa sebagai pusat arahan dan kemudahan ketenteraan Hezbollah, diserang dalam tempoh kira-kira 10 minit.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan, Lubnan tidak termasuk dalam perjanjian gencatan senjata antara Washington dan Tehran, sambil menegaskan kempen ketenteraan terhadap Hezbollah akan diteruskan.
Menurut pihak Pertahanan Awam Lubnan, ini merupakan hari paling berdarah sejak perang tercetus, dengan ibu negara Beirut merekodkan jumlah korban tertinggi.
Sementara itu, pegawai Iran memberi amaran bahawa serangan berterusan Israel ke atas Lubnan boleh menjejaskan gencatan senjata yang baru dipersetujui, sekali gus meningkatkan risiko ketegangan serantau kembali memuncak.
Di Washington, jurucakap Presiden AS Donald Trump, Karoline Leavitt menyatakan bahawa Lubnan tidak termasuk dalam perjanjian tersebut.
Hezbollah, yang tidak mengaku bertanggungjawab terhadap sebarang serangan sejak perjanjian itu diumumkan berkata, kumpulan itu mempunyai hak untuk bertindak balas dan memberi amaran kepada keluarga yang dipindahkan agar menunggu pengumuman rasmi gencatan senjata sebelum pulang ke rumah masing-masing.
Eskalasi terbaharu dalam konflik berdekad-dekad antara Hezbollah dan Israel tercetus apabila kumpulan itu melancarkan serangan roket ke Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, pada peringkat awal perang.
Dalam perkembangan sama, Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Volker Turk menyifatkan serangan itu sebagai “mengerikan” dan berkata, keganasan sedemikian, yang berlaku hanya beberapa jam selepas persetujuan gencatan senjata dicapai, “sukar untuk dipercayai” serta membahayakan usaha damai yang rapuh di rantau itu. - Agensi