DUNIA
144 terbunuh di Gaza dalam tempoh 24 jam ketika serangan Israel berterusan

14 orang terbunuh apabila tentera Israel melepaskan tembakan ke arah orang awam yang sedang menunggu trak bantuan di sepanjang Jalan Salahuddin. - Foto fail/REUTERS
BANDARAYA GAZA: Sekurang-kurangnya 144 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh 24 jam terakhir akibat serangan udara dan tembakan artileri Israel di seluruh Semenanjung Gaza, menurut Kementerian Kesihatan Gaza dan laporan media antarabangsa.
Antara yang terkorban termasuk sekurang-kurangnya 70 individu yang sedang menunggu bantuan makanan di Khan Younis, selatan Gaza, ketika mereka disasarkan oleh serangan Israel.
Serangan lain turut mengenai kawasan kediaman di kem pelarian Maghazi, kejiranan Zeitoun dan Bandar Gaza, mengorbankan lebih 20 orang, manakala lima lagi maut dalam serangan ke atas sebuah khemah pelarian di Khan Younis.
Pasukan perubatan melaporkan bahawa 14 orang terbunuh apabila tentera Israel melepaskan tembakan ke arah orang awam yang sedang menunggu trak bantuan di sepanjang Jalan Salahuddin, laluan utama bantuan kemanusiaan di tengah Gaza.Sejak penghantaran bantuan makanan disambung semula pada akhir Mei, lebih 397 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan, dan lebih 3,000 lagi cedera.
Penduduk Gaza menyuarakan kebimbangan bahawa penderitaan mereka semakin dilupakan dunia, ketika tumpuan antarabangsa kini beralih kepada konflik antara Israel dan Iran.
“Siapa yang tidak mati akibat bom Israel, mati kerana kelaparan,” kata seorang penduduk Gaza kepada Reuters.
“Darah mereka membasahi guni tepung yang mereka sangka akan menyelamatkan keluarga mereka.”

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami