HYDERABAD: Sekurang-kurangnya 15 orang, sebahagian besarnya pelajar muda, dilaporkan terkorban manakala ramai lagi cedera dalam satu kebakaran di sebuah bangunan komersial di Bandar Lucknow, India pada Isnin.
Kebakaran itu memusnahkan bangunan komersial tiga tingkat yang menempatkan sebuah pusat latihan animasi serta beberapa kedai lain di kawasan Aliganj, yang terletak di ibu kota negeri Uttar Pradesh.
Berdasarkan video di media sosial dan keterangan saksi, beberapa kanak-kanak dilihat bertindak terjun dari bangunan yang dipenuhi asap tebal itu ketika orang ramai yang berada di kawasan sekitar panik dan cuba menghubungi pihak polis serta jabatan bomba.
"Kehilangan nyawa dalam tragedi kebakaran di Lucknow ini amat menyedihkan dan menyayat hati. Salam takziah saya ucapkan kepada keluarga mangsa," kata Ketua Menteri Yogi Adityanath dalam satu perhimpunan di sebuah bandar lain.
Media tempatan melaporkan lebih 20 mangsa telah dibawa ke pusat trauma Universiti Perubatan King George (KGMU).
Lima daripada mangsa yang cedera telah dimasukkan ke wad untuk rawatan, manakala 15 lagi disahkan telah meninggal dunia ketika tiba di hospital.
Tragedi di Uttar Pradesh ini menyusul selepas insiden kebakaran besar sebuah hotel di Delhi awal bulan ini yang mengorbankan sekurang-kurangnya 22 orang, dengan kebanyakannya merupakan pelancong perubatan warga asing.
-- BERNAMA