Ringkasan AI
- Beberapa perkhidmatan dalam talian Apple mengalami gangguan teknikal selama beberapa jam sehingga awal pagi Rabu waktu Malaysia.
- Perkhidmatan terjejas termasuk Apple Pay, iCloud, App Store, Apple Music, AppleCare dan sistem log masuk serta pengesahan pengaktifan peranti baharu.
- Apple mengesahkan gangguan berpunca daripada kemas kini dalaman dan menafikan ia akibat serangan siber seperti yang dispekulasikan di media sosial.
CUPERTINO: Beberapa perkhidmatan dalam talian milik Apple mengalami gangguan teknikal selama beberapa jam sehingga awal pagi Rabu waktu Malaysia.
Dalam tempoh sama, beberapa gangguan berasingan turut dilaporkan melibatkan Microsoft 365, sistem Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan sektor perbankan Amerika Syarikat (AS).
Antara perkhidmatan utama yang dilaporkan terjejas dalam insiden itu termasuk sistem pembayaran Apple Pay, storan awan iCloud, gedung aplikasi App Store, Apple Music, AppleCare serta sistem log masuk dan pengesahan pengaktifan peranti baharu Apple, lapor Amanz.
Gangguan yang tertumpu di AS itu mula dikesan antara 12.40 tengah malam hingga 1.15 pagi waktu Malaysia sebelum kesemua perkhidmatan pengguna disahkan kembali pulih sepenuhnya selepas jam 6 pagi tadi.
Gangguan itu turut menjejaskan ciri log masuk pihak ketiga termasuk platform kecerdasan buatan Claude yang dibangunkan oleh Anthropic.
Dalam satu kenyataan rasmi, Apple berkata masalah teknikal itu berpunca daripada proses kemas kini dalaman terhadap sistem sedia ada.
Syarikat itu turut mengesahkan insiden berkenaan bukan disebabkan serangan siber seperti spekulasi yang tular di platform media sosial.
Siri gangguan melibatkan pelbagai sistem pengkomputeran, penerbangan dan komunikasi di AS kebelakangan ini mencetuskan kebimbangan meluas mengenai tahap daya tahan infrastruktur digital negara itu.