TOKYO: Ribut salji dilaporkan melanda sebahagian besar kawasan di Jepun yang mengakibatkan 17 individu maut manakala lebih 90 orang cedera.

Memetik laporan The Guardian, pegawai pengurusan bencana memaklumkan ratusan buah rumah terputus bekalan elektrik serta ratusan kenderaan terkandas di lebuh raya dan kelewatan perkhidmatan penghantaran.

Dalam pada itu, jumlah kematian meningkat kepada 17 orang manakala 93 kecederaan sehingga Isnin lalu. Ada di antara penduduk tergelincir dan ditemui tertimbus di bawah longgokan salji ketika mengalihkan salji tebal dari bumbung rumah.

Sementara itu, pejabat perbandaran menggesa penduduk supaya berhati-hati apabila mengeluarkan salji dan tidak bekerja bersendiri.

Agensi Pengurusan Bencana memaklumkan seorang wanita berusia 70-an ditemui mati tertimbus di bawah timbunan tebal salji atas bumbung yang tiba-tiba menimpanya.

Kejadian berlaku di bandar Nagai di wilayah Yamagata, kira-kira 300km (180 batu) di utara Tokyo, di mana salji setinggi 80cm (2.6 kaki).

Menurut Kementerian Industri dan Ekonomi memaklumkan purata salji meningkat tiga kali ganda untuk musim ini terutama di bahagian timur laut Jepun. 

Salji tebal turut menumbangkan menara bekalan kuasa elektrik di pulau utama utara Jepun serta menyebabkan kira-kira 20,000 rumah terputus bekalan elektrik pada pagi Krismas.

Perkhidmatan puluhan kereta api dan penerbangan ditangguh pada Ahad tetapi disambung semula.

Di Niigata, wilayah yang terkenal dengan penanaman padi, pembuat mochi serta kek beras melekit yang menjadi makanan ruji untuk hidangan sambutan tahun baharu memaklumkan berlaku kelewatan penghantaran berikutan cuaca buruk.