Skip to main content

Dunia

17 terbunuh, 25 cedera dalam serangan dron di selatan Sudan

51694919501_Sudanesesoldiers.jpg
RSF menggesa penyiasatan antarabangsa bebas untuk menangkap mereka yang bertanggungjawab. - Gambar/ AP

KHARTOUM: Sekurang-kurangnya 17 terbunuh dan 25 cedera dalam serangan dron yang menyasarkan kawasan kediaman di bandar Lagawa di negeri Kordofan Barat, selatan Sudan, menurut kenyataan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) dan seorang saksi, lapor Xinhua.

Dalam kenyataan pada Isnin, RSF memaklumkan "serangan sistematik ini ke atas hospital, pasar dan kawasan kediaman di beberapa bandar di wilayah Kordofan dan Darfur, menggunakan dron, ialah pelanggaran serius dan jelas terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa, yang melarang menyasarkan orang awam dan objek awam."

Advertisement

RSF menggesa penyiasatan antarabangsa bebas untuk menangkap mereka yang bertanggungjawab.

Seorang saksi memberitahu Xinhua, "Awal pagi ini, kami mendengar letupan kuat, diikuti kepulan asap tebal yang naik dari beberapa kawasan kejiranan di tengah Lagawa."

“Projektil jatuh ke atas beberapa rumah di bahagian timur bandar, mengakibatkan kemalangan jiwa,” tambah saksi itu, mengesahkan kematian dan kecederaan yang dilaporkan.

Negeri Kordofan Barat, yang terletak di bahagian barat daya wilayah Kordofan dan bersempadan dengan Sudan Selatan, berada di bawah kawalan RSF.

Angkatan Tentera Sudan (SAF) tidak mengulas mengenai tuduhan membedil bandar itu.

SAF dan RSF berperang sejak April 2023. Konflik itu telah membunuh puluhan ribu orang dan menyebabkan jutaan kehilangan tempat tinggal di Sudan dan di seluruh rantau ini.

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video