SOFIA: Pihak berkuasa Bulgaria menahan empat individu selepas penemuan 18 mayat migran Afghanistan, termasuk kanak-kanak dalam sebuah trak yang ditinggalkan berhampiran ibu negaranya, Sofia.

Kementerian Dalam Negerinya mendedahkan trak berkenaan dipercayai digunakan untuk membawa kayu dan pendatang, yang disembunyikan dalam beberapa bahagian kenderaan tersebut.

Ia menyebabkan sebahagian besar migran mati akibat sesak nafas.

Kumpulan migran itu dipercayai merentasi sempadan Afghanistan dengan Turkiye dan kemudian bersembunyi di dalam hutan selama dua hari, sebelum menaiki trak berkenaan berhampiran bandar Yambol.

Menteri Kesihatan Bulgaria, Asen Medzhidiev memaklumkan 34 migran, termasuk lima kanak-kanak dibawa ke hospital, dengan sebahagian daripada mereka berada dalam keadaan kritikal, namun stabil.

"Mereka didapati lemas akibat kekurangan oksigen, kerana dikurung di dalam trak. Mereka berada dalam kesejukan dan tidak mendapat bekalan makanan selama beberapa hari," dedah Medzhidiev kepada media.

Salah seorang daripada empat suspek yang ditahan sudah dijatuhkan hukuman atas kesalahan penyeludupan manusia.

Bulgaria terletak dalam laluan yang digunakan migran dari Asia Barat dan Afghanistan untuk memasuki Kesatuan Eropah (EU).

Lazimnya, mereka tidak terus berada di Bulgaria, sebaliknya mencari negara-negara kaya di timur Eropah, dan adakalanya menjadi mangsa rangkaian penyeludupan manusia.

Pada 2015, tiga pemandu trak Bulgaria ditahan dan didakwa atas kematian 71 migran yang ditemui di tepi lebuh raya Austria.

Disember lalu, warga Bulgarian disekat daripada memasuki zon bebas pasport EU, Schengen oleh Austria dan Belanda, susulan kebimbangan berkaitan undang-undang dan keselamatan.