INTERNATIONAL
2 maut selepas SUV langgar pintu masuk terminal lapangan terbang Manila

Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun antara dua yang maut selepas sebuah SUV melanggar pintu masuk kawasan berlepas Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (NAIA) di Paranaque City pada Ahad. - Foto AP/Aaron Favila
MANILA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun antara dua yang maut selepas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) melanggar pintu masuk kawasan berlepas Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (NAIA) di Paranaque City pada Ahad, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Pasukan Keselamatan Penerbangan Polis Kebangsaan Filipina (PNP Avsegroup) berkata kejadian berlaku kira-kira 8 pagi ketika Ford Everest berwarna hitam itu sedang bersedia meninggalkan kawasan berlepas selepas menurunkan penumpang.
Pemandu itu mendakwa semasa menghidupkan kenderaannya, sebuah kereta sedan tiba-tiba melintas di hadapan, "menyebabkannya terlupa menekan pedal brek, mengakibatkan SUV itu melanggar" orang ramai di pintu masuk, menurut laporan.
Seorang lagi mangsa yang maut ialah lelaki berusia 28 tahun.Tiga mangsa yang cedera masing-masing berusia 55, 34 dan 4 tahun, dibawa ke Hospital San Juan De Dios di Pasay City.
Jabatan Pengangkutan (DOTr) memaklumkan bahawa semakan awal rakaman kamera litar tertutup (CCTV) "menunjukkan bahawa tiada rancangan terancang untuk mencederakan penumpang NAIA."
Setiausaha DOTr Vince Dizon berkata pasukan kecemasan bertindak pantas bagi mengawal keadaan dan memastikan keselamatan penumpang lain.
"Ini bukan perbuatan disengajakan. Dalam rakaman CCTV, jelas pemandu itu bersama penumpang yang hendak berlepas sebelum kejadian berlaku. Bagaimanapun, siasatan lanjut akan dijalankan oleh PNP," katanya kepada media di NAIA.
"Pemandu akan menjalani ujian saringan dadah dan pihak berkuasa turut akan meneliti rakaman CCTV dari sudut lain. Jadi, sama-sama kita tunggu," tambahnya.
Lesen memandu lelaki itu kini digantung selama 90 hari sementara menunggu siasatan.
Sementara itu, San Miguel Corporation menawarkan untuk menyediakan bantuan yang diperlukan kepada mangsa dan keluarga mereka.
Dizon turut merayu kepada orang ramai supaya menghormati keluarga mangsa dan mengelak daripada berkongsi gambar atau video kejadian.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami