INTERNATIONAL
2024 tahun paling berdarah buat wartawan - CPJ

CPJ berkata, kesan perang di Gaza ke atas wartawan adalah sesuatu yang belum pernah dilihat dalam sejarah. - Gambar fail/ Reuters
Sekurang-kurangnya 124 wartawan dan petugas media terbunuh sepanjang tahun 2024, menjadikannya tahun paling berdarah sejak Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) mula menjejaki data lebih tiga dekad lalu.
Ringkasan AI
- 124 wartawan dan petugas media terbunuh sepanjang tahun 2024, menjadikannya tahun paling berdarah sejak CPJ mula menjejaki data. Hampir 70% mangsa adalah rakyat Palestin yang terbunuh dalam perang Israel-Gaza.
- Ketua CPJ, Jodie Ginsberg, menyatakan ini adalah zaman paling berbahaya untuk wartawan. Beliau menekankan bahawa perlindungan wartawan di zon konflik semakin merosot, dengan banyak kematian berlaku di Gaza, Lubnan, Sudan, Pakistan, Mexico, dan Myanmar.
- Seramai 361 wartawan dipenjarakan di seluruh dunia pada 2024, angka kedua tertinggi sejak 1992. Negara utama yang memenjarakan wartawan termasuk China, Israel, dan Myanmar.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CPJ, Jodie Ginsberg, ini merupakan zaman paling berbahaya untuk menjadi wartawan dalam sejarah CPJ.
"Kesan perang di Gaza ke atas wartawan adalah sesuatu yang belum pernah dilihat dalam sejarah. Ia mencerminkan kemerosotan ketara norma global dalam kepentingan melindungi wartawan di zon konflik.
"Namun Gaza bukan satu-satunya lokasi berisiko. Data kami menunjukkan nyawa wartawan dalam ancaman di seluruh dunia," katanya mengulas dapatan laporan tersebut.
Angka kematian pada 2024 mengatasi rekod tertinggi sebelumnya iaitu 113 orang pada tahun 2007, semasa kemuncak perang di Iraq. Ketika itu 51 wartawan dan pekerja media terbunuh.
Daripada 124 kematian direkodkan tahun lepas, 82 berlaku di Gaza dan tiga di Lubnan, manakala baki 36 pembunuhan berlaku di 16 negara lain.
Sudan dan Pakistan mencatatkan jumlah kedua tertinggi dalam kalangan negara paling berbahaya buat pekerja media, masing-masing dengan enam kematian. Mexico dan Myanmar turut mencatatkan tahun berdarah bagi media, dengan lima wartawan dibunuh di Mexico dan tiga lagi dibunuh oleh tentera Myanmar. Di Iraq, peningkatan operasi ketenteraan terhadap kumpulan Kurdish mengakibatkan kematian wartawan pertama sejak 2020.
Ramai Dibunuh Israel
Menurut rekod CPJ, seramai 85 wartawan dan pekerja media yang dibunuh Israel pada 2024. Ini menjadikannya jumlah pembunuhan tahunan tertinggi oleh suatu negara dalam tempoh lebih tiga dekad.
Antara 82 wartawan Palestin yang terbunuh di Gaza termasuk Ahmed Abu Skheil, 25, dan adiknya Zahraa Abu Skheil, 22. Kedua-duanya maut dalam pengeboman sekolah oleh Israel pada 9 November 2024.
Awal tahun itu, tiga sepupu mereka yang juga wartawan - Mohamed El Sayed Abu Skheil, 33, Tarek Al-Sayed Abu Sakhil, 31, dan Mohammed Adel Abu Skheil, 24 - turut terbunuh dalam serbuan tentera Israel ke atas Kompleks Perubatan Al-Shifa.
Wartawan termuda yang dikenal pasti oleh CPJ sebagai mangsa ialah wartawan bebas dan jurugambar Palestin, Hassan Hamad, 18 tahun. Beliau terbunuh akibat serangan dron Israel pada 6 Oktober 2024 ketika membuat liputan di Gaza Utara.
Di Lubnan, tiga pengamal media terbunuh akibat serangan udara Israel pada 25 Oktober 2024. Ghassan Najjar, 48, Wissam Qassim (umur tidak diketahui), dan Mohammed Reda, 55, maut dalam serangan ke atas sebuah kawasan yang menempatkan 18 wartawan dari pelbagai organisasi media.
"Pembunuhan" Wartawan
CPJ menyatakan sekurang-kurangnya 24 wartawan telah disasarkan secara langsung kerana menjalankan tugas, dan mengklasifikasikan kematian mereka sebagai "pembunuhan".
(Suatu kematian diklasifikasikan sebagai pembunuhan oleh CPJ hanya jika terdapat bukti kukuh bahawa kematian itu berkait secara langsung dengan tugas wartawan tersebut.)
Hampir separuh daripada pembunuhan yang berlaku pada 2024 didalangi Israel , dengan tujuh daripadanya di Gaza dan tiga di Lubnan.
Antara mangsa di Gaza termasuk wartawan Al Jazeera Arabic, Ismail Al Ghoul, 27, dan rakan wartawan bebasnya, Rami Al Refee, 26. Mereka terbunuh dalam serangan dron Israel ke atas kereta yang mereka naiki ketika meninggalkan kem pelarian Al Shati, Bandar Gaza, pada 31 Julai 2024.
Pembunuhan lima wartawan pada 26 Disember iaitu Ayman Al Gedi, 28, Fadi Hassouna, 22, Faisal Abu Al Qumsan, 27, Ibrahim Sheikh Ali, 38, dan Mohammed Al-Ladaa, 23, juga diklasifikasikan sebagai pembunuhan. Mereka terbunuh dalam serangan ke atas kenderaan media yang diparkir di luar Hospital Al-Awda, Gaza Tengah.
CPJ turut menyiasat 20 lagi kes di mana wartawan dipercayai disasarkan secara langsung oleh Israel. Sekiranya dapat dibuktikan, kes sedemikian akan dikategorikan sebagai jenayah perang di bawah undang-undang antarabangsa.
Baki 14 kes pembunuhan wartawan yang disahkan CPJ berlaku di Myanmar, Pakistan, Haiti, Iraq, India, Mexico, Mozambique dan Sudan.
Laporan itu turut menonjolkan peningkatan membimbangkan dalam serangan dron bersasar. Daripada 10 pembunuhan di Gaza, empat dilakukan menerusi serangan dron Israel.
Turut disebut adalah kemungkinan serangan serupa berlaku ke atas wartawan di Iraq dan Syria. Ini peningkatan mendadak berbanding tahun 2023, yang hanya mencatatkan satu kematian disyaki akibat dron di Gaza serta tiga kecederaan berkaitan dron di Gaza, Rusia dan Ukraine.
Peningkatan Pembunuhan Wartawan Bebas
Seramai 43 wartawan bebas terkorban pada tahun 2024, menjadikan mereka antara kumpulan paling berisiko dalam kalangan pengamal media. Jumlah ini mengatasi rekod tertinggi sebelum ini iaitu 17 orang pada tahun 2023.
Daripada jumlah ini, 31 adalah wartawan bebas Palestin di Gaza. Ramai antara mereka menjadi pemberita bebas setelah organisasi media masing-masing musnah dalam peperangan. CPJ menekankan bahawa liputan mereka sangat penting buat media antarabangsa kerana Israel menghalang kemasukan wartawan asing bebas ke Gaza, kecuali lawatan terhad yang dikawal tentera.
Semakin Ramai Wartawan Dipenjara
Laporan CPJ turut menyatakan bahawa seramai 361 wartawan dipenjarakan di seluruh dunia setakat 1 Disember 2024. Ini angka kedua tertinggi sejak CPJ mula menjejaki penahanan wartawan pada tahun 1992.
Peningkatan ini didorong oleh tindakan keras rejim autoritarian, konflik, dan ketidakstabilan politik. China (50), Israel (43) dan Myanmar (35) muncul sebagai tiga negara utama yang paling ramai memenjarakan wartawan. Lain-lain negara dalam senarai 10 teratas termasuk Belarus (31), Rusia (30), Mesir (17), Eritrea (16), Iran (16), Vietnam (16), dan Azerbaijan (13).
"Angka ini sepatutnya menjadi peringatan buat kita semua," kata Ginsberg dalam laporan itu. "Kebangkitan serangan terhadap wartawan lazimnya diikuti oleh pencabulan hak lain, termasuk hak untuk menerima dan menyampaikan maklumat, hak untuk berhimpun dan bergerak bebas, serta hak untuk membantah."
Asia dan Israel Catat Penahanan Tertinggi
Lebih 30 peratus daripada jumlah wartawan yang dipenjarakan di seluruh dunia datang dari Asia, dengan 111 orang menjadi mangsa penindasan di rantau ini.
Israel menyumbang hampir separuh daripada 108 wartawan yang dipenjarakan di Timur Tengah dan Afrika Utara. CPJ menegaskan kebimbangan global yang semakin meningkat terhadap penahanan tanpa sebab wartawan Palestin dan menggesa agar tindakan tegas diambil.
Pertubuhan itu menyatakan bahawa penahanan wartawan Palestin adalah sebahagian daripada usaha sistematik Israel untuk menghalang liputan tentang tindakannya di Gaza, selain melarang kemasukan wartawan asing.
Kerajaan Israel turut mengharamkan organisasi berita berpangkalan di Qatar, Al Jazeera, daripada beroperasi di Israel dan Tebing Barat, menggunakan undang-undang waktu perang yang membenarkan penutupan media asing atas alasan keselamatan.
Laporan itu menekankan bagaimana tuduhan kabur yang bersifat anti-negara - seperti keganasan dan ekstremisme - digunakan secara terang-terangan sebagai alat perundangan untuk membungkam perbezaan pendapat. Tuduhan seperti hasutan, fitnah, dan berita palsu juga sering digunakan untuk menekan wartawan. Lebih 60 peratus daripada wartawan yang dipenjarakan di seluruh dunia pada tahun 2024 berdepan dengan tuduhan tersebut, dengan mereka yang berada dalam komuniti terpinggir sering menjadi sasaran utama.
Walaupun angka penahanan di negara seperti Turkiye menurun, CPJ memberi amaran bahawa gangguan undang-undang, penapisan dan intimidasi masih menjadi ancaman serius terhadap media bebas di benua Afrika, Amerika Latin dan Eropah.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami