DUNIA
25 negara, EU kecam pembunuhan tidak berperikemanusiaan orang awam di Gaza

Lebih 25 negara termasuk UK, Australia, dan Jepun serta EU mengecam tindakan Israel membunuh orang awam secara tidak berperikemanusiaan di Semenanjung Gaza. - Gambar fail/REUTERS
LONDON: Lebih 25 negara termasuk United Kingdom (UK), Australia dan Jepun serta Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin mengecam tindakan Israel membunuh orang awam secara tidak berperikemanusiaan di Semenanjung Gaza, dan menggesa perang di wilayah yang dikepung itu ditamatkan segera, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ringkasan AI
- Sebanyak 25 negara termasuk UK, Australia, Jepun dan negara EU mengecam Israel atas tindakan membunuh orang awam di Gaza serta menafikan bantuan kemanusiaan.
- Mereka menggesa Israel patuh kepada undang-undang antarabangsa dan hentikan sekatan ke atas aliran bantuan ke Gaza.
- Kenyataan bersama itu juga menolak pemindahan paksa rakyat Palestin dan menyokong usaha gencatan senjata oleh AS, Qatar dan Mesir.
"Kami mengecam penyaluran bantuan secara titisan dan pembunuhan tidak berperikemanusiaan terhadap orang awam, termasuk kanak-kanak, yang sedang berusaha mendapatkan keperluan asas seperti air dan makanan."
Kenyataan itu menyifatkan pembunuhan lebih 800 rakyat Palestin ketika cuba mendapatkan bantuan sejak penubuhan kontroversi Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) pada akhir Mei sebagai "mengerikan" dan menegaskan bahawa penafian bantuan penting oleh Kerajaan Israel kepada penduduk awam adalah "tidak boleh diterima."
"Israel mesti mematuhi kewajipannya di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa," tegas kenyataan itu.
Kenyataan itu ditandatangani oleh menteri luar dari Australia, Austria, Belgium, Kanada, Denmark, Estonia, Finland, Perancis, Iceland, Ireland, Itali, Jepun, Latvia, Lithuania, Luxembourg, Belanda, New Zealand, Norway, Poland, Portugal, Slovenia, Sepanyol, Sweden, Switzerland dan UK serta Pesuruhjaya EU.
Kenyataan itu turut mengecam penahanan tawanan dan menggesa pembebasan mereka "serta-merta dan tanpa syarat."
"Kami menggesa Kerajaan Israel agar segera menarik balik sekatan terhadap aliran bantuan dan membenarkan PBB serta badan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan melaksanakan kerja-kerja menyelamat secara selamat dan berkesan."
Menggesa semua pihak untuk melindungi orang awam dan mematuhi kewajipan di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, kenyataan itu juga menolak cadangan pemindahan penduduk Palestin ke "kota kemanusiaan" sebagai "sama sekali tidak boleh diterima."
"Pemindahan paksa secara kekal adalah satu pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Kami menentang sebarang langkah ke arah perubahan wilayah atau demografi di Wilayah Palestin yang Diduduki."
Pihak-pihak berkenaan turut menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Amerika Syarikat, Qatar dan Mesir untuk mencapai gencatan senjata serta-merta, tanpa syarat dan berkekalan.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami