JAKARTA: Agensi Pengurusan Bencana Sumatera Barat (BPBD) pada Isnin melaporkan 26 maut dengan enam masih hilang dan dua cedera dalam kejadian banjir dan tanah runtuh di pulau itu.

Hujan lebat mengakibatkan banjir di 11 bandar dan daerah sejak 4 petang waktu tempatan Khamis lepas menyebabkan 79,000 orang di kawasan terjejas dipindahkan.

Tiga korban ialah dari Daerah Padang Pariaman sementara 23 lagi dilaporkan di Daerah Pesisir Selatan, di mana enam individu dilaporkan masih hilang, dipercayai terperangkap dalam kejadian tanah runtuh dan dihanyutkan arus banjir.

Keadaan air termenung masih berlaku di Padang, ibu kota Sumatera Barat biarpun air mula menyurut di kebanyakan daerah, menurut sebuah laporan terkini.

Kerosakan termasuk 1,603 kediaman, 51 tempat ibadat, 28 sekolah, 5,550 hektar tanah pertanian, tujuh kemudahan awam dan sebuah pusat kesihatan.

Agensi itu menggesa pihak berkuasa tempatan dan penduduk supaya terus berhati-hati di tengah-tengah kesan banjir yang berterusan semasa musim tengkujuh.

-- BERNAMA