Skip to main content

Dunia

26 maut, lebih 27,000 penduduk dipindah akibat hujan lebat di Kerala

FILE PHOTO: People wade through a flood-affected area with their belongings in Sivasagar, Assam, India, July 23, 2026. REUTERS/Hafiz Ahmed/File Photo
Orang ramai meredah kawasan yang dilanda banjir sambil membawa barangan milik mereka di Sivasagar, Assam, India. - Foto REUTERS
Advertisement

NEW DELHI: Angka korban akibat insiden berkaitan hujan di negeri Kerala di selatan India meningkat kepada 26 orang, menurut pihak berkuasa pada Rabu, lapor Xinhua.

Ketua Menteri Kerala V D Satheesan pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai situasi semasa berkata seramai 11 orang cedera manakala empat lagi dilaporkan hilang.

Menurut beliau, seramai 27,048 penduduk terpaksa berpindah akibat hujan lebat yang melanda negeri itu, dengan 462 pusat pemindahan kini beroperasi di seluruh Kerala bagi menempatkan mereka.

Satheesan turut mengumumkan beberapa langkah bantuan untuk keluarga yang terjejas akibat hujan berterusan, termasuk peningkatan pampasan kepada mereka yang kehilangan nyawa, rumah dan harta benda.

Beliau berkata kerosakan tanaman dilaporkan membabitkan kawasan seluas 1,882 hektar tanah pertanian, sekali gus menjejaskan 23,537 petani.

Jabatan Meteorologi India (IMD) mengeluarkan amaran jingga berikutan hujan lebat pada Rabu. Menurut buletin IMD yang dikeluarkan pada pagi Rabu, hujan meluas dijangka melanda Kerala, pesisir pantai Karnataka dan Telangana dari 5 hingga 11 Ogos.

Beberapa kawasan di utara Kerala, termasuk kawasan tanah tinggi di Kozhikode dan Kannur, menerima hujan lebat sejak 1 Ogos, sekali gus mencetuskan banjir dan tanah runtuh. Air banjir masih belum surut di kebanyakan kawasan rendah dan banyak rumah masih ditenggelami air.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement