ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh sementara berpuluh-puluh lagi cedera dalam kejadian dua letupan bom berhampiran pejabat calon di wilayah Balochistan, Pakistan menjelang pilihan raya umum, kata pegawai.

Letupan pertama membunuh 16 orang di daerah Pishin, utara bandar Quetta.

Sementara letupan kedua pula meragut 12 nyawa di Qila Saifullah di sebelah timur.

Proses demokrasi Pakistan telah dicemari oleh keganasan dan dakwaan penipuan undian, manakala bekas Perdana Menteri negara itu, Imran Khan dilarang bertanding.

Polis masih berusaha untuk mengenal pasti punca kedua-dua letupan itu berlaku.

Balochistan yang kaya dengan sumber - wilayah terbesar dan termiskin di Pakistan - mempunyai sejarah keganasan.

Ia telah menyaksikan perjuangan selama beberapa dekad untuk autonomi yang lebih besar oleh pelbagai kumpulan, sebahagian daripada mereka bersenjata termasuk pasukan pejuang Taliban Pakistan (TTP), beroperasi di sepanjang sempadan dengan Afghanistan.

Letupan di Pishin iaitu sebuah bandar yang terletak kira-kira 100km (62 batu) di tenggara sempadan Afghanistan berlaku di hadapan pejabat parti calon Bebas turut mengakibatkan 25 orang turut cedera, kata pegawai pasukan berkuasa.

Imej-imej yang tersebar di media sosial menunjukkan kereta dan motosikal ‘berterbangan’ disebabkan oleh kekuatan letupan.

Pegawai-pegawai rasmi kerajaan memberitahu BBC, ketika kejadian, calon pilihan raya sedang mengadakan pertemuan dengan ejen pengundian.

Letupan kedua menyasarkan pejabat pemilihan parti JUI-F.

Seorang pegawai kanan polis memberitahu agensi berita AF, letupan itu berlaku di bazar utama Qila Saifullah, kira-kira 190km (120 batu) timur Quetta.

Ia menyebabkan 20 orang cedera dan jumlah korban dalam dua serangan itu boleh meningkat, kata pegawai.

Keganasan berlaku di kedua-dua wilayah Balochistan dan Khyber Pakhtunkhwa pada minggu sebelum pengundian Khamis dan keganasan di Pishin dan Qila Saifullah bukanlah sesuatu yang tidak dijangka.

Pada pertengahan Januari, pemberontak Baloch Liberation Army-Azad (BLA) mengeluarkan risalah selepas mengaku bertanggungjawab mengebom pejabat latihan pilihan raya.

Risalah itu menggesa orang ramai memboikot pilihan raya. Tidak lama selepas itu, laporan serangan bom tangan ke atas pejabat parti politik dilaporkan dari pelbagai bandar di wilayah itu.

Ramai pengundi di Balochistan berasa diabaikan oleh parti politik negara itu, memandangkan wilayah itu mempunyai sedikit kerusi di Parlimen.

Berikutan serangan pada Rabu, kerajaan Balochistan berkata, pengundian pada Khamis seperti yang dirancang akan tetap diteruskan.

"Yakinlah, kami tidak akan membenarkan pengganas melemahkan atau mensabotaj proses demokrasi yang penting ini," kata menteri penerangan wilayah Jan Achakzai di akaun media sosial X

Lebih 128 juta pengundi layak membuang undi dalam pilihan raya.

Dalam sistem pilihan raya Pakistan, 266 daripada 336 kerusi Dewan Negara dipilih secara langsung.

Namun begitu, ramai yang mempersoalkan kredibiliti proses undian itu memandangkan Imran dan partinya, PTI telah dinafikan.

PTI memenangi bilangan kerusi terbanyak dalam pilihan raya umum lalu tetapi Imran atas tuduhan rasuah tahun lalu dan hilang kelayakan daripada bertanding jawatan awam.

Minggu lalu pula, beliau disabitkan kesalahan dalam tiga kes lain dan berdepan penjara bertahun-tahun.

Imran menyifatkan semua pertuduhan ke atasnya bermotifkan politik. - Agensi