KABUL: Sekurang-kurangnya 28 orang awam terbunuh manakala 49 lagi cedera dalam serangan udara yang dilancarkan Pakistan di kawasan sempadannya dengan Afghanistan, menurut Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Afghanistan (UNAMA) pada Isnin.
Pasukan keselamatan Pakistan memaklumkan, sekurang-kurangnya 29 militan terbunuh dalam operasi darat dan udara di sepanjang sempadan Afghanistan, manakala Taliban Afghanistan pula mendakwa sekurang-kurangnya 38 orang awam terbunuh dalam serangan tersebut.
UNAMA berkata, angka korban berkemungkinan meningkat kerana hospital masih merawat mangsa yang cedera.
Serangan udara pada Ahad itu merupakan yang kedua dilancarkan Pakistan terhadap sasaran di Afghanistan yang didakwa milik kumpulan pejuang, sekali gus berpotensi memburukkan lagi konflik yang berlaku secara tidak menentu antara kedua-dua pihak yang pernah menjadi sekutu, selepas pertempuran terburuk dalam tempoh beberapa tahun pada Februari lalu.
Serangan udara Pakistan yang menyasarkan tiga lokasi di wilayah Paktia, Paktika dan Kunar dilaporkan telah membunuh 25 anggota pasukan pejuang serta memusnahkan “sejumlah besar” senjata dan peluru, menurut Menteri Penerangan, Attaullah Tarar menerusi hantaran di X pada Isnin.
Dalam perkembangan sama, empat lagi pejuang yang mempunyai kaitan dengan kumpulan Jamaat-ul-Ahrar, pecahan Taliban Pakistan, terbunuh dalam serangan darat di daerah Bajaur di wilayah sempadan utara Pakistan, Khyber Pakhtunkhwa.
Taliban Pakistan, yang dikenali sebagai Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP), mengesahkan kematian salah seorang komandernya, Khan Ferosh atau Zabul, dalam operasi di Bajaur itu.
Islamabad menuduh Kabul melindungi kumpulan yang didakwa merancang serangan di Pakistan.
Namun Taliban Afghanistan menafikan tuduhan tersebut dan menyifatkan isu militansi sebagai masalah dalaman Pakistan.
Jurucakap kerajaan Afghanistan, Hamdullah Fitrat berkata, serangan itu telah mengorbankan 38 orang awam serta mencederakan 163 yang lain, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Menurutnya, sebahagian besar korban berpunca daripada serangan jet Pakistan yang mengebom sebuah rumah di wilayah Paktia, mengorbankan 28 individu dan mencederakan 158 yang lain.
Timbalan Ketua daerah yang terjejas, Samkani, Khalid Ahmad Sajad berkata, penduduk sedang membantu mangsa yang cedera apabila serangan kedua dilancarkan di kawasan sama.
“Semua sedang tidur ketika pesawat datang dan mula menyerang rumah ini. Di dalamnya terdapat kanak-kanak, wanita, lelaki serta warga emas,” kata seorang penduduk, Mata Khan.
Timbalan Menteri Penerangan Afghanistan, Mohajer Farahi dalam satu kenyataan berkata, “serangan ini pasti akan dibalas pada masa yang sesuai.”
Sementara itu, Tarar menegaskan, tindakan Pakistan adalah sebagai respons terhadap “beberapa insiden keganasan baru-baru ini”, termasuk serangan bom dan tembakan pada Sabtu yang didakwa kumpulan Jamaat-ul-Ahrar ke atas kemudahan Sindh Rangers di Karachi, yang mengorbankan tiga anggota separa tentera dan mencederakan empat yang lain.
“Pasukan keselamatan telah melancarkan serangan tepat ke atas kem pejuang dan lokasi persembunyian mereka,” katanya. - Agensi