[TERKINI] Najib Razak Dilepas Tanpa Dibebaskan – Kes SRC RM27 Juta, Ikuti Laporan di Sini
INTERNATIONAL

3 lagi ditahan susulan serangan bom kereta di Ankara Turki

Agensi 19/02/2016 | 14:51 MYT
Sekurang-kurangnya 28 orang maut manakala 61 cedera dalam serangan bom kereta yang berlaku di tengah Ankara pada Khamis. - Foto AFP
Pihak berkuasa Turki percaya kes serangan bom kereta di Ankara, pada Khamis yang meragut 28 nyawa hampir selesai dengan penangkapan tiga lagi suspek.
Ia menjadikan 17 suspek ditangkap sehingga kini bagi disiasat berhubung serangan tersebut.
Ketua Pendakwa Raya Ankara, Harun Kodalak berkata, pihaknya akan membuat pengumuman mengenai kes yang dijangka diselesaikan itu tidak lama lagi.
BACA: PM Turki dakwa militan Kurdistan bertanggungjawab serangan bom di Ankara
BACA: Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam serangan bom di Ankara
FOTO: Insiden letupan di Turki ragut 28 nyawa
Menurut Harun, yang dipetik sebagai berkata oleh agensi berita Anatolia, ketiga-tiga mereka ditangkap hasil serbuan di bandar Izmir dan Diyarbakir, sebuah bandar yang didiami majoriti puak Kurdis di tenggara Syria.
"Hanya seorang lagi masih diburu berhubung serangan bom kereta pada awal pagi Khamis itu,'' kata Harun.
Laporan agensi berita Anatolia seterusnya menyebut, pasukan penyiasat kini menumpukan kepada kaitan antara kesemua mereka yang ditahan itu dengan Parti Pekerja Kurdistan, PKK.
Pasukan bomba cuba memadamkan kebakaran susulan letupan selepas serangan ke atas konvoi tentera di Ankara pada 17 Februari 2016.
Sebelum ini, pihak berkuasa percaya serangan didalangi PKK yang dikatakan bekerjasama dengan Unit Perlindungan Rakyat Kurdis Syria, ypg.
PKK merupakan sebuah pertubuhan yang diharamkan di Turki kerana melahirkan militan manakala YPG pula pasukan yang dikerah untuk memerangi pejuang-pejuang di Syria.
Turki menuduh militan Kurdish melakukan serangan sebagai tekanan kepada Amerika Syarikat (AS) dan simbol bantahan kepada hasrat Turki mahu menganggotai Kesatuan Eropah (EU).
Bagaimanapun ia dinafikan Ketua PKK, yang mengakui tidak tahu menahu siapa yang mendalangi serangan berdarah itu.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri, Ahmet Davutoglu hadir di lokasi tragedi dan memberi penghormatan berhubung serangan bom itu dengan turut disertai beberapa pegawai tertinggi kerajaan.
Serangan pada Khamis itu adalah insiden kedua di Ankara dalam tempoh empat bulan.
Penganalisis percaya bahawa, serangan yang bertali arus ke atas Turki adalah disebabkan negara itu terlibat dalam konflik politik termasuk isu pemberontak Kurdish, militan Daesh dan krisis pelarian Syria.
#Ahmet Davutoglu #Ankara #Daesh #daish #Kurdish #Numan Kurtulmus #Recep Tayyip Erdogan #Turki #Turkish