Sekurang-kurangnya tiga terbunuh dan berpuluh lagi cedera apabila dua letupan menggegarkan berhampiran garisan penamat di maraton Boston Isnin menyebabkan suasana panik.

Polis masih belum dapat mengenalpasti sama ada letupan berkenaan sebahagian daripada serangan pengganas, namun penganjur berkata terdapat dua letupan dan media melaporkan peranti letupan yang kedua tidak meletup dan telah dijumpai di kawasan berkenaan.

Letupan tersebut mengakibatkan jalanan dilimpahi darah dan penonton menjerit dan bertempiaran lari.

Pasukan paramedik dan polis bergegas ke tempat kejadian sejurus letupan berlaku.

Penganjur maraton Boston berkata melalui Facebook, dua bom berkenaan meletup berhampiran garisan penamat tanpa mendedahkan sumber maklumat berkenaan.

"Kami bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi memahami apa sebenarnya yang berlaku," kata penganjur.

Berita NBC memetik sumber rasmi awal melaporkan polis telah menemui beberapa alat letupan di Boston, menguatkan lagi kemungkinan serangan yang dirancang.

Dua letupan itu berlaku selepas 10 tahun insiden rampasan kapal terbang di New York, Washington dan Pennsylvania pada 11 September 2001 yang menyaksikan 3 ribu nyawa melayang.

Pada satu sidang media tergempar, Gabenor Massachusetts Deval Patrick menggambarkan insiden itu sebagai situasi huru-hara dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden berkenaan untuk menghubungi pihak berkuasa.

Ketua Polis Boston Ed Davis berkata terdapat letupan ketiga di Perpustakaan Presiden John F. Kennedy namun pengurusan perpustakaan kemudian berkata ianya satu kebakaran akibat litar pintas dan telah pun dipadamkan tanpa melibatkan sebarang kecederaan.

Klip video yang disiarkan di Internet memaparkan seorang peserta maraton terlibat dalam letupan beberapa meter dari penghadang dan barisan bendera kebangsaan yang memisahkan penonton dan laluan peserta maraton.

Seorang peserta kelihatan terumbang-ambing dan kemudiannya terjatuh dan peserta lain meneruskan larian. Sukarelawan yang mengenakan jaket kuning menutup telinga masing-masing sewaktu letupan sedang berlaku.

"Kami lihat kaki mangsa dalam letupan," Mark Hagopian, pemilik Hotel Charlesmark memberitahu AFP dari tingkat bawah sebuah restoran di mana tempat dia berlindung sewaktu kejadian.

"Seorang mangsa di sebelah saya lututnya terkena letupan namun dia masih hidup."

"Teruk sekali dan berlaku dengan pantas," menurut beliau. "Ianya satu letupan besar... kami dapat merasa deruan angin di muka kami... polis berkata: 'Cepat keluar, mungkin terdapat banyak lagi bom."

19 mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Massachusetts termasuk enam mangsa memerlukan pembedahan segera menurut Alasdair Conn, ketua perkhidmatan kecemasan.

Dia menambah beberapa mangsa yang cedera memerlukan pembedahan di tempat kejadian atau pun di hospital.

Pusat Perubatan Boston menerima 20 pesakit termasuk dua kanak-kanak dari kawasan letupan maraton. "Kebanyakan mangsa cedera di kaki," menurut satu kenyataan ringkas.

Akaun Twitter Polis Boston memberitahu pada mulanya dua mangsa terbunuh. Laporan terbaru mendedahkan jumlah mangsa yang cedera meningkat ke 132 orang dan 17 daripadanya berada dalam keadaan kritikal.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama telah dimaklumkan berhubung insiden berkenaan dan pentadbiran beliau kini berhubung rapat dengan pihak berkuasa negeri dan tempatan, menurut sumber rasmi White House.

Obama telah menghubungi Patrick dan Datuk Bandar Boston Tom Menino untuk melahirkan rasa sedih dan sokongan beliau kepada mangsa. Obama telah membuat kenyataan itu malam tadi.

Sementara itu tahap keselamatan dipertingkatkan di New York, Washington, Los Angeles dan San Francisco.

Letupan di Boston turut memberi impak kepada pasaran saham AS yang mengakibatkan Indeks DOW dan S&P jatuh 500 mata pada akhir dagangan.

"Semoga semua di maraton Boston hari ini selamat," menurut seorang senator AS dari Massachusetts, Elizabeth Warren. Dewan Senat memberi penghormatan tafakur dan diikuti oleh Dewan Perwakilan.

Maraton Boston merupakan salah satu acara olahraga tahunan terbesar di AS, dengan hampir 27,000 peserta bersaing.

Perlumbaan itu menarik penyertaan atlet kelas dunia, kebanyakan daripada mereka telah menghabiskan larian beberapa jam sebelum letupan meletus. Klip video menunjukkan jam perlumbaan maraton pada 4:09:44