DUNIA
30 cedera dirempuh kereta ketika beratur di luar kelab malam di Los Angeles

Anggota bomba Los Angeles melakukan kerja-kerja menyelamat di lokasi kejadian selepas sebuah kenderaan merempuh orang ramai di luar sebuah kelab malam di East Hollywood, Los Angeles, California, pada awal pagi Sabtu. - Gambar Reuters
LOS ANGELES: Sekurang-kurangnya 30 individu cedera selepas sebuah kereta merempuh sekumpulan orang ramai yang sedang beratur untuk memasuki sebuah kelab malam di East Hollywood, awal pagi Sabtu.
Menurut Jabatan Bomba Los Angeles (LAFD), tujuh mangsa berada dalam keadaan kritikal manakala enam lagi cedera parah dalam insiden yang berlaku sekitar jam 2 pagi waktu tempatan (9 pagi GMT).
Ketika kejadian, kumpulan mangsa – kebanyakannya wanita – sedang beratur di luar lokasi hiburan Vermont Hollywood yang menganjurkan acara muzik berkonsepkan reggae dan hip hop.
Menurut siasatan awal, Polis Los Angeles (LAPD) memaklumkan, siasatan awal mendapati, insiden itu berlaku selepas pemandu kenderaan terbabit dilaporkan membuat pusingan U sebelum merempuh kumpulan orang ramai, lapor CBS News.Polis turut memaklumkan, sejurus selepas kejadian, orang awam yang berada di tempat kejadian menarik keluar pemandu dari keretanya, dipercayai model Nissan Versa, sebelum menyerangnya.
Seorang individu turut melepaskan tembakan ke arah pemandu tersebut.
Pemandu berkenaan telah dibawa ke hospital untuk menjalani pembedahan, namun keadaannya setakat ini belum diketahui.
Menurut polis, kenderaan terbabit turut melanggar gerai taco dan podium valet sebelum merempuh orang ramai.
Gambar yang tular dari lokasi kejadian menunjukkan sebuah kereta berwarna kelabu berada di atas laluan pejalan kaki dengan serpihan bertaburan di sekeliling, serta kehadiran pasukan polis yang besar.
Seorang pegawai penguatkuasa undang-undang memaklumkan kepada CNN, pemandu terbabit dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.
Dalam pada itu, polis sedang memburu suspek yang melepaskan tembakan dalam kekecohan tersebut. Suspek digambarkan sebagai lelaki berketurunan Hispanik, berkepala botak, memakai jersi biru dan dipercayai bersenjata pistol berwarna perak.
Datuk Bandar Los Angeles, Karen Bass menyifatkan kejadian itu sebagai satu "tragedi yang menyayat hati."
“Seluruh warga Los Angeles bersedih atas insiden ini. Hati kami bersama semua mangsa yang terlibat. Siasatan penuh sedang dijalankan bagi mengenal pasti apa sebenarnya yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Kapten LAFD, Adam VanGerpen, kesemua mangsa telah dihantar ke hospital dan pusat trauma berdekatan.
“Ia adalah situasi yang sangat huru-hara,” katanya sambil menambah bahawa ramai saksi yang berada berhampiran kelab malam turut membantu mangsa-mangsa yang cedera. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami