Ringkasan AI
- Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow bertemu pemimpin Myanmar Min Aung Hlaing di Naypyidaw menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila.
- Kedua-dua pihak membincangkan kerjasama, keselamatan sempadan, pencemaran rentas sempadan, serta kepentingan keselamatan rakyat Thailand di kawasan sempadan.
- Thailand menegaskan sokongan terhadap proses keamanan Myanmar dan penglibatan konstruktif negara itu dengan ASEAN serta masyarakat antarabangsa.
ISLAMABAD: Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow mengadakan pertemuan dengan pemimpin Myanmar Min Aung Hlaing di Naypyidaw pada Khamis menjelang sidang kemuncak serantau yang dijadual berlangsung hujung minggu ini, menurut laporan media kerajaan.
Kementerian Luar Thailand memaklumkan bahawa kedua-dua pihak membincangkan kerjasama dalam pelbagai bidang selain menekankan hubungan persahabatan kukuh antara kedua-dua negara, lapor Anadolu Ajansi yang memetik penyiar Thai PBS World.
Lawatan Sihasak berlangsung beberapa hari sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 yang dijadual bermula Ahad ini di Manila, Filipina.
Wakil ASEAN turut melawat Myanmar pada akhir bulan lepas bagi memperluas akses bantuan kemanusiaan.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut membincangkan usaha memperkukuh keselamatan dan kestabilan di sepanjang sempadan Thailand-Myanmar.
Sihasak menekankan kepentingan memastikan keselamatan rakyat Thailand yang tinggal di kawasan sempadan dan menggesa Myanmar supaya mengambil langkah berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kesan terhadap penduduk di sebelah Thailand.
Kedua-dua pihak turut membincangkan isu pencemaran rentas sempadan, khususnya pencemaran sungai yang menjejaskan komuniti di kedua-dua negara.
Thailand turut menegaskan sokongannya terhadap proses keamanan Myanmar serta penglibatan konstruktif negara itu dengan ASEAN dan masyarakat antarabangsa.
ASEAN telah mengecualikan pemimpin Myanmar menghadiri sidang kemuncaknya sejak tentera menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi pimpinan Aung San Suu Kyi pada 2021.
Myanmar akan diwakili Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal ASEAN, Kementerian Luar negara itu pada sidang kemuncak berkenaan.
-- BERNAMA-ANADOLU