TOKYO: Kira-kira 300 murid dan guru berjaya diselamatkan selepas kebakaran melanda sebuah sekolah rendah di bandar raya ini lewat pagi Jumaat.
Kebakaran di Sekolah Rendah Takinogawa No. 3 di Kita Ward, utara Tokyo itu dilaporkan bermula sekitar jam 11 pagi waktu tempatan.
Jabatan Bomba Tokyo memaklumkan api dipercayai berpunca dari bilik muzik di tingkat empat bangunan sekolah berkenaan.
Insiden itu menyebabkan kepulan asap hitam tebal keluar dari bahagian atas bangunan, dengan sebahagian murid terpaksa berlindung di balkoni sebelum diselamatkan menggunakan tangga oleh pasukan bomba.
Sebanyak 75 kenderaan kecemasan termasuk jentera bomba dikerahkan ke lokasi bagi mengawal kebakaran yang menjejaskan kawasan seluas kira-kira 200 meter persegi.
Api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira tiga jam kemudian.
Menurut laporan media, sekurang-kurangnya 11 individu termasuk lapan murid dan tiga guru dikejarkan ke hospital, kebanyakannya akibat terhidu asap.
Seorang guru dilaporkan mengalami patah tulang pinggul, manakala beberapa murid mengalami kecederaan termasuk patah tangan akibat terjatuh ketika menyelamatkan diri.
Pihak berkuasa mengesahkan tiada kematian dilaporkan dan semua mangsa berada dalam keadaan stabil.
Pelajar lain dipindahkan ke lokasi berhampiran untuk disatukan semula dengan ibu bapa masing-masing.
Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.