TOKYO: Seekor beruang hitam ditakai pada Isnin di barat Tokyo selepas ditemukan terperangkap dalam jerat, menandakan kali pertama kelonggaran syarat tembakan kecemasan terhadap haiwan berbahaya digunakan di ibu kota Jepun sejak diperkenalkan tahun lepas berikutan peningkatan kes serangan beruang, lapor Kyodo News.
Menurut Kerajaan Bandar Hachioji, Balai Polis Takao menerima makluman mengenai beruang yang terperangkap itu kira-kira 3.30 petang, dan tembakan kecemasan dijalankan kira-kira dua jam kemudian.
Di bawah undang-undang perlindungan dan pengurusan hidupan liar yang dipinda, pihak berkuasa tempatan di Jepun diberi kuasa untuk melantik pemburu bagi menjalankan tembakan kecemasan terhadap beruang dan haiwan berbahaya lain di kawasan berpenduduk.
Langkah itu bertujuan membolehkan tindakan pantas diambil bagi mencegah bahaya. Sebelum ini, tembakan ke atas haiwan secara umumnya dilarang di kawasan awam, dengan hanya pihak polis diberi kuasa untuk membenarkannya dalam kes bahaya hampir.
-- BERNAMA-KYODO