SEKURANG-KURANGNYA 36 orang cedera selepas pesawat Airbus 330 Hawaiian Airlines menghadapi beberapa gelora udara yang teruk ketika dalam penerbangan menuju ke Honolulu dari Phoenix, Arizona pada Ahad.

Susulan itu, 20 individu menerima rawatan di wad kecemasan dengan 11 daripada mereka dilaporkan parah.

Perkhidmatan Kecemasan Medik Honolulu (EMS) dalam kenyataan turut mengesahkan antara yang menerima rawatan termasuk bayi berusia 14 bulan.

"Pesakit-pesakit antaranya mengalami kecederaan di bahagian kepala, luka, lebam dan tidak sedarkan diri," kata EMS Honolulu dalam kenyataan itu.

Syarikat penerbangan Hawaiian Airlines dalam masa sama memberi jaminan akan terus memantau keadaan penumpang yang menerima rawatan termasuk kakitangannya yang terlibat dalam kejadian luar jangka itu.

"Pasukan perubatan bersedia membantu penumpang serta anak kapal yang berada di lapangan terbang dan yang berada di hospital bagi menerima rawatan lanjut," kata Hawaiian Airlines menerusi ciapan di Twitter sejurus kejadian.

Gelora udara didakwa berlaku 15 ke 30 minit sebelum pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Daniel K. Inouye, Honolulu.

Sebanyak 278 penumpang dan 10 anak kapal berada di dalam pesawat semasa penerbangan.

Menurut Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat FAA, kejadian dilaporkan berlaku sekitar 10.35 pagi waktu tempatan.

"Bagaikan terjatuh ke bawah," kata Jacie Hayata-Ano, salah seorang penumpang yang pulang ke Hawaii sempena cuti musim sejuk.